NAYERA Ashraf. FOTO Twitter
NAYERA Ashraf. FOTO Twitter
AFP

Kaherah: Mahkamah di Mesir, pada Selasa, menjatuhkan hukuman mati kepada seorang lelaki kerana membunuh seorang pelajar, kata sumber kehakiman, dalam kes yang mencetuskan kemarahan yang meluas.

Mohamed Adel didapati bersalah atas pembunuhan terancang rakan universiti, Nayera Ashraf selepas dia mengaku melakukan jenayah itu di mahkamah, kata sumber itu kepada AFP.

Keputusan itu, yang dijatuhkan di Mansoura, utara Kaherah, selepas perbicaraan pada Ahad, kini akan dirujuk kepada mufti besar, pihak berkuasa tertinggi Mesir, satu formaliti dalam kes hukuman mati.

Sebuah video yang tular awal bulan ini menunjukkan Nayera ditikam di luar universitinya di Mansoura pada 19 Jun lalu.

Nayera sebelum ini melaporkan kebimbangannya kepada pihak berkuasa, dan pihak pendakwaan berkata, mesej daripada tertuduh yang mengancam untuk memotong lehernya ditemukan pada telefon bimbitnya.

Keputusan itu mendapat sambutan di hadapan mahkamah di Mansoura, video yang diterbitkan oleh media tempatan.

Jenayah itu mencetuskan kemarahan yang meluas di Mesir yang diikuti dengan kejadian sama di dalam kampus terhadap seorang pelajar perempuan di Jordan, beberapa hari kemudian.

Polis Jordan pada Isnin berkata, lelaki yang disyaki membunuh Iman Irshaid bertindak menembak dirinya sendiri selepas enggan menyerah diri.

Sementara itu, satu lagi kes mula menjadi tajuk utama di Mesir apabila mayat penyampai televisyen Shaimaa Gamal ditemukan hampir tiga minggu selepas dilaporkan hilang oleh suaminya.

Mayatnya ditemukan berdasarkan maklumat daripada seseorang yang mengaku 'turut serta dalam jenayah itu', kata satu kenyataan pendakwaan.

Pihak pendakwaan memerintahkan penahanan suaminya, yang juga pegawai kanan kehakiman, menurut kenyataan itu.

Ketiga-tiga kes menyebabkan kemarahan yang memuncak di media sosial, dengan netizen menuntut keadilan dan mengecam insiden pembunuhan wanita di dunia Arab.

Pendakwah Mesir, Mabrouk Attia juga mencetuskan kemarahan, termasuk dalam kalangan pembela hak wanita, selepas berkata bahawa Nayera tidak akan menghadapi nasib yang sama sekiranya dia bertudung.

Perundangan dan tafsiran konservatif Islam di Mesir menyumbang kepada mengehadkan hak wanita dengan teruk.

Hampir lapan juta wanita Mesir menjadi mangsa keganasan yang dilakukan pasangan atau saudara mereka, atau oleh orang yang tidak dikenali di tempat awam, menurut tinjauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 11:48 AM