PENUMPANG memakai pakaian perlindungan diri ketika tiba di Lapangan Terbang Tullamarine, Melbourne. FOTO AFP
PENUMPANG memakai pakaian perlindungan diri ketika tiba di Lapangan Terbang Tullamarine, Melbourne. FOTO AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang mengkaji sama ada varian Omicron mempunyai sebarang kesan ke atas jenis ujian lain walaupun ia dapat dikesan menerusi RT-PCR.

Ia selepas badan dunia itu mengisytiharkan Omicron, yang pertama kali dikesan awal bulan ini di Afrika sebagai varian yang membimbangkan (VOC), lapor AFP.

Klasifikasi itu meletakkan Omicron ke dalam kategori varian Covid-19 yang paling membimbangkan, bersama-sama dengan Delta yang dominan di seluruh dunia serta Alpha, Beta dan Gamma.

"Ujian PCR yang digunakan secara meluas terus mengesan jangkitan, termasuk Omicron, seperti yang kita lihat dengan varian lain.

"Kajian sedang dijalankan untuk menentukan sama ada terdapat sebarang kesan ke atas jenis ujian lain, termasuk ujian pengesanan antigen pantas," kata WHO.

Omicron tersebar di seluruh dunia pada Ahad, menyebabkan banyak negara kembali menutup sempadan dan mengenakan sekatan.

Ia menyebabkan timbul keraguan terhadap usaha global untuk memerangi wabak itu kerana kebimbangan penularannya menyebabkan langkah sekatan yang diharapkan sudah berlalu dilaksanakan kembali.

Menurut WHO, masih belum jelas sama ada Omicron merebak dengan lebih mudah dari seorang individu ke individu lain.

Ia termasuk sama ada jangkitan dengan varian itu menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding dengan yang lain.

"Pada masa ini tiada maklumat untuk mencadangkan bahawa gejala yang dikaitkan dengan Omicron adalah berbeza daripada varian lain," kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu.

Walaupun bukti awal menunjukkan bahawa mungkin terdapat peningkatan risiko mereka yang sebelum ini mempunyai Covid-19 dijangkiti semula dengan Omicron namun maklumat pada masa ini terhad.

Badan dunia itu berkata, ia sedang berusaha untuk memahami potensi kesan varian itu terhadap tindakan balas sedia ada, termasuk vaksin.

Katanya, bagi rawatan, kortikosteroid dan penyekat reseptor IL6 masih berkesan untuk merawat pesakit dengan Covid-19 yang teruk, manakala rawatan lain akan dinilai untuk melihat sama ada ia masih berkesan terhadap Omicron.

Menurutnya kajian pelbagai aspek varian baharu itu akan mengambil masa beberapa minggu untuk mendapat kesimpulan.

"WHO sedang menyelaraskan dengan sejumlah besar penyelidik di seluruh dunia untuk lebih memahami Omicron.

"Lebih banyak maklumat akan diperoleh dalam beberapa hari dan minggu akan datang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 11:17 AM