ORANG ramai membeli buah-buahan kering sebagai persiapan menjelang Aidilfitri, di sebuah pasar di Kabul. FOTO AFP
ORANG ramai membeli buah-buahan kering sebagai persiapan menjelang Aidilfitri, di sebuah pasar di Kabul. FOTO AFP
AFP

Kabul: Jutaan penduduk di 11 wilayah di Afghanistan terpaksa 'bergelap', pada Sabtu, selepas dua menara pemancar kuasa diletupkan di sebelah barat ibu negara Afghanistan, kata pihak berkuasa.

Gangguan itu berlaku menjelang cuti Aidilfitri yang menandakan berakhirnya Ramadan.

Dua tiang di wilayah Parwan dibom pada lewat Jumaat dan ia memutuskan bekalan elektrik ke ibu negara dan wilayah jiran.

"Musuh... sudah meletupkan dua tiang elektrik dengan bom," kata jurucakap syarikat elektrik DABS, Hekmatullah Maiwand yang dikendalikan kerajaan dalam satu video.

Tambahnya, lima pasukan daripada firma itu dikerahkan untuk menjalankan baik pulih.

"Tiang itu dipasang di atas pergunungan dan pasukan kami cuba membaikinya," kata Maiwandi.

Sementara itu, polis memaklumkan dua suspek sudah ditahan berhubung letupan itu.

Banyak bangunan kediaman dan perniagaan di bandar ini yang mempunyai kepadatan penduduk kira-kira lima juta orang, memulakan penjana swasta pada Sabtu untuk memastikan bekalan elektrik menjelang perayaan Aidilfitri.

Sebahagian besar kawasan di Afghanistan bergantung kepada elektrik yang diimport dari negara jiran utara Uzbekistan dan Tajikistan, menjadikan talian kuasa merentas desa sebagai sasaran utama pemberontak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 9:38 AM