KABUL. FOTO EPA
KABUL. FOTO EPA
AFP

Kabul: Militan Daesh- Khorasan mengaku mereka yang meletupkan punca kuasa di Kabul hingga menyebabkan bekalan elektrik di Kabul serta beberapa wilayah lain terputus.

Insiden bekalan kuasa terputus kira-kira 6 petang waktu tempatan semalam itu, menjadi tamparan hebat kepada usaha Taliban mengembalikan kestabilan sejak dua bulan mereka berkuasa.

Dalam satu kenyataan diterbitkan di saluran Telegram, Militan Daesh-Khorasan mengaku mereka bertanggungjawab terhadap insiden yang menggelapkan seluruh Kabul itu.

"Tentera militan meletupkan bom pada tiang elektrik di Kabul untuk merosakkan bekalan elektrik," katanya.

Afghanistan sebahagian besarnya bergantung kepada elektrik yang diimport dari negara utara jirannya, Uzbekistan dan Tajikistan.

Ia menjadikan saluran kuasa merentas seluruh negara itu sebagai sasaran utama pemberontak.

Semalam, insiden letupan di tiang elektrik di Qala Murad Beg di wilayah Kabul, itu menjejaskan kira-kira 4.5 juta pengguna.

Sebelum ini, Taliban berjanji untuk memerangi kumpulan militan Daesh itu tetapi kumpulan itu terus melakukan kekejaman yang dahsyat.

Awal minggu ini, Khorasan mengaku mereka ialah dalang di sebalik pengeboman bunuh diri di sebuah masjid Syiah di bandar selatan Kandahar pada 15 Oktober lalu hingga mengorbankan 60 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 9:30 AM