KANAK-KANAK lelaki yang cedera akibat letupan itu. FOTO AFP
KANAK-KANAK lelaki yang cedera akibat letupan itu. FOTO AFP
AFP

Kabul: Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 24 yang lain cedera dalam satu insiden letupan di sebuah madrasah di bandar Aybak di utara Afghanistan, semalam.

Seorang doktor di hospital Aybak, kira-kira 200 kilometer di utara ibu kota Kabul berkata, mangsa yang terkorban kebanyakannya adalah kanak-kanak.

"Semua mereka adalah kanak-kanak dan orang awam.

"Beberapa pesakit yang cedera parah dipindahkan ke hospital yang lebih lengkap di Mazar-i-Sharif yang terletak kira-kira 120 kilometer melalui jalan raya.

"Mereka yang dirawat di sini... kebanyakannya cedera di badan dan muka terkena serpihan letupan," katanya kepada AFP.

Seorang pegawai wilayah mengesahkan, letupan itu berlaku di madrasah Al Jihad, sebuah sekolah agama Islam, tetapi tidak dapat memberikan jumlah sebenar angka korban.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Abdul Nafay Takor berkata, 10 pelajar maut dan ramai lagi cedera.

"Pasukan detektif dan keselamatan kami sedang bekerja dengan pantas untuk mengenal pasti pelaku jenayah yang tidak boleh dimaafkan ini dan menghukum mereka atas tindakan mereka," katanya menerusi Twitter.

Dalam pada itu, Amnesty International memberi amaran kepada dunia bahawa penderitaan rakyat Afghanistan masih jauh lagi untuk berakhir.

Rakaman imej dan video yang tersebar di media sosial yang tidak dapat disahkan sumbernya menunjukkan pejuang Taliban berjalan perlahan melalui mayat yang berselerak di lantai sebuah bangunan.

Kelihatan sejadah, kaca pecah dan serpihan lain bersepah di tempat kejadian.

Sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos tahun lalu,

puluhan letupan dan serangan berlaku dengan menyasarkan orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 1:24 PM