FOTO fail menunjukkan orang ramai menunggu giliran untuk membeli petrol di Colombo. FOTO Reuters
FOTO fail menunjukkan orang ramai menunggu giliran untuk membeli petrol di Colombo. FOTO Reuters
AFP

Colombo: Sri Lanka menggesa rakyatnya di luar negara menghantar wang ke tanah air untuk membantu membayar makanan dan minyak yang sangat diperlukan pada Rabu selepas mengumumkan hutang asingnya yang berjumlah AS$51 bilion (kira-kira RM215 bilion).

Negara kepulauan itu berada dalam krisis ekonomi terburuk sejak merdeka pada 1948, dengan kekurangan barangan keperluan yang teruk.

Pihak berkuasa sedang berdepan kemarahan orang ramai dan protes menuntut peletakan jawatan kerajaan sebelum rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Gabenor bank pusat, Nandalal Weerasinghe berkata, beliau memerlukan warga Sri Lanka di luar negara untuk menyokong negara pada masa penting ini dengan menderma pertukaran asing yang amat diperlukan.

Rayuannya dibuat sehari selepas kerajaan mengumumkan ia menangguhkan pembayaran balik semua hutang luar negeri, yang akan menambah bekalan petrol, farmaseutikal dan keperluan lain.

Weerasinghe berkata, beliau menyediakan akaun bank di Amerika Syarikat, Britain dan Jerman dan berjanji kepada ekspatriat Sri Lanka bahawa wang itu akan dibelanjakan untuk yang paling memerlukan.

"Ia akan memastikan bahawa pemindahan mata wang asing itu akan digunakan hanya untuk mengimport barangan keperluan, termasuk makanan, bahan api dan ubat-ubatan", kata Weerasinghe dalam satu kenyataan.

Rayuan Weerasinghe setakat ini disambut dengan keraguan daripada warga Sri Lanka di luar negara.

Seorang jurutera perisian Sri Lanka di Kanada berkata, beliau tidak yakin bahawa wang itu akan dibelanjakan untuk golongan yang memerlukan.

"Ini cara yang sama seperti dana tsunami," katanya kepada AFP, merujuk kepada berjuta-juta dolar yang diterima negara itu sebagai bantuan selepas bencana Disember 2004, yang meragut sekurang-kurangnya 31,000 nyawa di pulau itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 10:01 AM