KERAJAAN tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang matang.
KERAJAAN tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang matang.
Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

Baru-baru ini, Menteri Kewangan iaitu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjawab pertanyaan di Parlimen sama ada keberhutangan Malaysia masih di paras terurus dan penularan di media sosial bahawa Malaysia akan menjadi seperti Sri Lanka.

Beliau memberi jaminan ekonomi Malaysia jauh lebih kukuh daripada Sri Lanka dan kemungkinan negara bankrap seperti Sri Lanka amat tipis.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa komited memastikan pembayaran faedah dilakukan mengikut jadual ditetapkan dan kerajaan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang matang walaupun melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan.

Jika kita membandingkan status indikator ekonomi makro antara kedua-dua negara, pandangan beliau ada asasnya.

Kadar inflasi di Sri Lanka meningkat kepada 58.9 peratus pada bulan Jun manakala Malaysia hanya mencatat kadar inflasi pada 3.4 peratus pada bulan sama.

Disebabkan kadar inflasi tinggi, kadar faedah ditetapkan Bank Negara Sri Lanka adalah 18.5 peratus manakala Bank Negara Malaysia hanya meletakkan kadar OPR sebanyak 2.25 peratus sahaja.

Sri Lanka mencatat kemuncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini sebanyak -1.6 peratus manakala Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus pada tempoh sama.

Rezab antarabangsa Sri Lanka berjumlah AS$1.887 bilion sahaja berbanding Malaysia yang berjumlah AS$107 bilion.

Sepanjang tahun ini, mata wang rupee Sri Lanka menyusut 44.5 peratus berbanding dolar AS manakala ringgit hanya menyusut 6.7 peratus.

Hutang kerajaan Sri Lanka berbanding KDNK melebihi 119 peratus manakala jumlah hutang terkini ditanggung kerajaan RM1.045 trilion setakat Jun tahun ini meliputi 63.8 peratus daripada KDNK.

Selain itu laporan perdagangan bulan Jun daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) turut menunjukkan perkembangan positif dari segi jumlah dagangan yang mencatatkan pertumbuhan 43.4 peratus berbanding tahun lalu yang mana eksport mencatat pertumbuhan dua digit untuk 11 bulan berturut-turut.

Ini kerana Malaysia masih menerima permintaan tinggi untuk barangan elektrikal dan elektronik, barangan petroleum, gas asli serta minyak sawit.

Namun kerajaan Malaysia tidak harus mengambil mudah dan menganggap krisis ekonomi ini akan berakhir.

Banyak lagi ketidaktentuan peringkat global perlu dihadapi seperti krisis Rusia-Ukraine, perang tarif AS-China dan gangguan rantaian bekalan global.

Selain itu, sebanyak RM43.1 bilion atau 18.4 peratus daripada anggaran jumlah hasil Putrajaya diperuntukkan untuk bayaran khidmat hutang kerajaan persekutuan untuk 2022.

Hanya lima tahun lalu, iaitu pada 2017, hutang tahunan kerajaan persekutuan RM28.87 bilion atau 12.81 peratus daripada hasil kerajaan persekutan.

Ini bermakna dalam masa lima tahun, komitmen hutang tahunan meningkat hampir 50 peratus menyebabkan tidak lama lagi, 20 peratus daripada hasil negara dihabiskan semata-mata untuk membayar hutang tahunan sahaja.

Oleh itu, langkah kerajaan mewujudkan Akta Tanggungjawab Fiskal akhir tahun ini dan juga langkah penjimatan melalui Pekeliling Perbendaharaan 3.1 adalah usaha ke arah kemampanan kewangan kerajaan untuk tempoh masa sederhana dan jangka masa panjang.

Pada masa sama, usaha mereformasi sistem monetari negara harus diteruskan untuk mengurangkan tahap keberhutangan kerajaan dan mewujudkan wang daulat dalam bentuk CBDC (Central Bank Digital Currency) yang ditambatkan kepada bakul komoditi-komiditi tertentu bagi memastikan kestabilan ringgit berbanding mata wang dunia.

Penulis Profesor Madya dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 6:00 AM