KUMPULAN pro-Houthi menyertai perarakan tentera di Yaman. FOTO EPA
KUMPULAN pro-Houthi menyertai perarakan tentera di Yaman. FOTO EPA
AFP

Riyadh: Gabungan pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman dalam menentang pemberontak Houthi, pada Selasa, mengumumkan gencatan senjata mulai pagi Rabu dan rundingan damai pada Ramadan.

"Pakatan dengan ini mengumumkan pemberhentian operasi ketenteraan di Yaman bermula pada 6 pagi Rabu, 30 Mac, 2022," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Saudi Press Agency.

Pemberontak Houthi sebelum ini menolak daripada menyertai mesyuarat di Riyadh mulai Rabu yang dihoskan oleh Majlis Kerjasama Teluk membabitkan kerajaan Yaman dan utusan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Yaman.

Pemberontak Houthi mengatakan pihaknya tidak akan pergi ke wilayah musuh untuk berbincang.

Arab Saudi juga dikatakan sedang menunggu "langkah serius" daripada pemberontak Yaman mengenai pertukaran tahanan sebelum menjawab tawaran mereka untuk gencatan senjata.

Pemberontak Houthi yang disokong Iran mahu mengadakan gencatan senjata selama tiga hari dan menggantungkan kemungkinan menamatkan permusuhan secara kekal pada Sabtu, iaitu tujuh tahun selepas perang bermula.

Tawaran berkenaan bagaimanapun dengan syarat Arab Saudi menamatkan sekatan dan serangan udara serta mengundurkan tentera gabungan dari Yaman.

Ahad lalu, Pemberontak Houthi berkata, kata sepakat dicapai untuk membebaskan 1,400 pejuangnya sebagai pertukaran dengan 823 tawanan prokerajaan, termasuk 16 rakyat Arab Saudi dan tiga warga Sudan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 10:59 AM