GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

KOREA Selatan mengesahkan 813 lagi kes Covid-19 hari ini, peningkatan terbesar setakat ini dengan jumlah keseluruhan 3,150 jangkitan dan empat kematian.

Korea Selatan juga turut melaporkan satu kes jangkitan semula di mana seorang wanita berusia 73 tahun dijangkiti Covid-19 buat kali kedua selepas dibenarkan pulang dari hospital minggu lalu.

Jurucakap Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Korea (KCDC), Kwon Jun-wook berkata, wanita berkenaan mendapat jangkitan kali kedua kerana sistem imunnya semakin merosot.

Sekurang-kurangnya 10 kes jangkitan semula dilaporkan di China.

Sementara itu, KCDC dalam kenyataan berkata, lebih 90 peratus kes baharu itu dilaporkan di Daegu yang menjadi pusat penularan wabak berkenaan di negara ini, serta wilayah jiran Gyeongsang Utara.

Menurut kenyataan itu, tiga wanita di Daegu, termasuk seorang berumur 90-an, meninggal dunia akibat virus terbabit dan menjadikan angka korban di Korea Selatan berjumlah 16 mangsa, setakat ini.

Agensi berita Yonhap melaporkan, dua lagi mangsa terbabit disahkan positif Covid-19 selepas kematian mereka.

Angka terbabit dijangka meningkat dengan saringan lebih 260,000 orang berkait Shincheonji Church of Jesus yang mencatat kira-kira separuh daripada jumlah kes di Korea Selatan.

Seorang anggota wanita berumur 61 tahun menghadiri sekurang-kurang empat upacara gereja di Daegu yang juga bandar keempat terbesar di Korea Selatan dengan populasi 2.5 juta penduduk, sebelum didiagnosis.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 7:20 PM