ORANG ramai menunggu giliran untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di Stesen Seoul, Seoul. FOTO EPA
ORANG ramai menunggu giliran untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di Stesen Seoul, Seoul. FOTO EPA
Agensi

Seoul: Gelombang Covid-19 di Korea Selatan melonjakkan jumlah jangkitan melepasi 10 juta sejak wabak itu bermula menyebabkan rumah urus mayat bergelut bergelut dengan lonjakan kematian yang mendadak.

CNN melaporkan, kes mula meningkat pada Februari lalu didorong oleh varian Omicron yang sangat mudah menular.

Negara ini kini menyaksikan ratusan ribu kes baharu setiap hari antara purata harian tertinggi di dunia.

Pihak berkuasa melaporkan 395,598 kes baharu pada Khamis lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes menjadi 10.8 juta, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea.

Itu membentuk kira-kira 20 peratus daripada populasi negara, dan ini bermakna kira-kira satu daripada setiap lima rakyat Korea Selatan kini dijangkiti pada beberapa peringkat wabak itu.

Rabu lalu menyaksikan hari paling teruk di negara itu setakat ini, dengan 470 kematian baharu Covid-19 iaitu angka kematian koronavirus harian tertinggi sejak virus itu mula-mula dikesan di Korea Selatan, menurut data yang dikeluarkan Khamis.

Tetapi dengan hampir 87 peratus daripada 52 juta penduduk Korea Selatan sudah diberi vaksin sepenuhnya dan 63 peratus penduduk kini menerima suntikan penggalak, kadar jangkitan dan kematian negara itu masih jauh lebih rendah daripada banyak negara lain.

Peningkatan kematian, baru-baru ini, menyaksikan permintaan untuk urusan pengebumian meningkat.

Kementerian Kesihatan pada Isnin mengarahkan krematorium di seluruh negara untuk beroperasi lebih lama.

Ia juga mengarahkan 1,136 rumah pengebumian yang mampu menyimpan kira-kira 8,700 mayat untuk mengembangkan kemudahan mereka.

Pihak berkuasa meningkatkan gabungan kapasiti pembakaran mayat harian daripada kira-kira 1,000 kepada 1,400 sehari bermula minggu lalu.

Tetapi sejumlah besar mayat terus dilaporkan di kawasan Seoul, yang padat penduduknya.

Data kementerian kesihatan menunjukkan 28 tempat pembakaran mayat di bandar Seoul beroperasi pada kapasiti 114.2 peratus, setakat Isnin, manakala nisbahnya berada pada kira-kira 83 peratus di wilayah lain seperti Sejong dan Jeju.

Bilangan pesakit kritikal melebihi 1,000 sejak dua minggu lalu, tetapi ia boleh meningkat kepada 2,000 pada awal April, kata Park Hyang, seorang lagi pegawai kementerian kesihatan.

Walaupun lonjakan itu, Korea Selatan melonggarkan sekatan Covid-19 dan pendapat umum nampaknya menyokong langkah itu.

Pada Isnin, had perhimpunan persendirian dinaikkan daripada enam kepada lapan orang, kelonggaran lain termasuk membatalkan kuarantin tujuh hari untuk ketibaan antarabangsa yang diberi vaksin sepenuhnya kecuali mereka yang datang dari negara berisiko tinggi termasuk Pakistan, Uzbekistan, Ukraine dan Myanmar.

Kerajaan juga berhenti menguatkuasakan pas vaksin dan mengurangkan sistem pengesanan kontak dan kuarantin yang dahulunya agresif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 11:52 AM