Jokowi memberi ucapan pembukaan pada mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat Negara G20 di Jakarta. - AFP
Jokowi memberi ucapan pembukaan pada mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat Negara G20 di Jakarta. - AFP
BERNAMA

Jakarta: Presiden Indonesia Joko Widodo menggesa semua negara supaya menghentikan ketegangan seperti yang berlaku di Ukraine, yang mengganggu pemulihan ekonomi dunia akibat pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

Joko Widodo, yang dikenali sebagai Jokowi, sebaliknya menyarankan agar semua negara menumpukan sinergi untuk berkerjasama menyelamatkan dunia agar segera bangkit dan pulih semula.

"Dalam situasi yang seperti ini bukan saatnya untuk bersaing, bukan saatnya untuk membuat ketegangan baru yang mengganggu pemulihan dunia.

"Apa lagi yang membahayakan keselamatan dunia, sebagaimana yang terjadi di Ukraine saat ini," katanya pada mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat Negara G20, hari ini.

Sejak beberapa bulan lalu, Barat dan Ukraine menuduh Rusia menempatkan anggota tenteranya berhampiran sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk "menyerang".

Moscow menafikan tuduhan itu berulang kali dan berkata pihaknya tidak mengancam sesiapa dan kehadiran tenteranya itu adalah untuk tujuan latihan.

Selain itu, Moscow turut menyatakan kebimbangan terhadap aktiviti ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhampiran sempadan negaranya, yang dianggap menggugat keselamatan Rusia.

"Kebangkitan sesuatu kawasan akan membangkitkan suatu kawasan yang lainnya. Sebaliknya keruntuhan sesuatu kawasan akan ikut meruntuhkan kawasan yang lainnya," kata Jokowi.

Menurut beliau, semua negara harus berkerjasama menangani trend kenaikan kadar inflasi global dan harga makanan, mengatasi kekurangan kontainer dan rantaian logistik serta mencegah terjadinya kelaparan.

Hal lain termasuk mempercepat proses transisi menuju ekonomi hijau, transformasi digital dan menyokong kebangkitan perusahaan kecil dan sederhana serta memantapkan 'kerangka kesihatan global'.

Indonesia adalah tuan rumah dan Pengerusi G20 bagi tempoh 2022. G20 merupakan forum kerjasama pelbagai hala yang terdiri daripada 19 negara utama dan Kesatuan Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 7:23 PM