TINJAUAN di KL Sentral mendapati keadaan tenang dan orang ramai mengguna perkhidmatan seperti biasa.
TINJAUAN di KL Sentral mendapati keadaan tenang dan orang ramai mengguna perkhidmatan seperti biasa.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Ada individu tidak bertanggungjawab sengaja mencetuskan panik melalui maklumat palsu disebarkan kononnya polis mengeluarkan arahan supaya orang ramai menjauhi lokasi tumpuan pelancong asing.

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada rakyat Malaysia menjauhi beberapa lokasi tumpuan pelancong yang didakwa bakal diserang kumpulan militan Daish seperti tersebar di media sosial.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui Twitter miliknya berkata, mesej amaran yang tersebar melalui media sosial itu tidak dikeluarkan oleh PDRM.

Beliau turut memuat naik mesej amaran palsu berkenaan di akaun Twitternya.

Pada mesej itu dinyatakan semua rakyat Malaysia dinasihati tidak mengunjungi kawasan seperti Publika, Bangsar, The Curve, Mid Valley, kota Kuala Lumpur, Menara Kuala Lumpur, Hartamas, Bukit Bintang dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT).

Turut didakwa, kerajaan Malaysia mengesahkan kumpulan militan Daish dijangka menyerang lokasi berkenaan dan orang ramai diminta berkongsi mesej berkenaan untuk menyelamatkan nyawa insan yang tidak bersalah.

Sementara itu, pihak berkuasa Indonesia turut meningkatkan pemantauan keselamatan di Kepulauan Riau selepas risalah berhubung serangan bom menyasarkan rakyat negara itu dan rakyat dari Malaysia dan Singapura tersebar secara meluas.

Memetik laporan portal Batam Today, berdasarkan risalah itu, kumpulan militan di Indonesia merancang untuk melancarkan serangan secara berperingkat di Terminal Feri Batam, Nagoya, Batam, Bintan Telani dan Tanjung Pinang di Kepulauan Bintan.

“Selepas kejadian serangan bom di ibu pejabat polis di Solo, baru-baru ini, kami sudah meningkatkan tahap keselamatan di Tanjung Pinang, terutamanya di kawasan sasaran seperti ibu pejabat polis dan terminal feri,” kata jurucakap polis daerah berkenaan, Kristian Siaigian.

Seorang lagi jurucakap polis Indonesia dari Bintan, Febrianto Guntur Sunoto pula dilaporkan berkata, orang ramai disaran untuk tidak panik berikutan pihak berkuasa sedang menyiasat pengedaran risalah itu.

Masih tidak dapat disahkan amaran itu datang daripada kumpulan militan Daish yang pernah mengeluarkan video melancarkan perang terhadap Malaysia dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 7:55 AM