JACINDA Ardern. FOTO AFP
JACINDA Ardern. FOTO AFP
AFP

Auckland: New Zealand tidak akan membuka sempadan negara sepenuhnya kepada pelancong asing sehingga Oktober, namun mula melonggarkan beberapa peraturan sekatan Covid-19.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern mengumumkan lima langkah untuk menghubungkan New Zealand dengan negara lain termasuk mengetepikan peraturan kuarantin hotel kepada rakyatnya yang terkandas di luar negara akibat wabak itu.

Katanya, mulai 27 Januari, rakyat New Zealand yang berada di Australia boleh kembali dan mengasingkan diri di rumah daripada menjalani kuarantin di lokasi ditetapkan pihak berkuasa.

Ia diikuti rakyatnya yang berada di negara lain dua minggu kemudian.

"Peraturan kuarantin sempadan kemudiannya akan dilonggarkan secara progresif untuk membolehkan kumpulan lain seperti pendatang mahir, pelajar antarabangsa, warga Australia dan semua rakyat asing yang sudah divaksin.

"Sudah tiba masanya untuk bergerak semula.

"Keluarga dan rakan perlu bersatu semula, perniagaan kita memerlukan kemahiran untuk berkembang, pengeksport perlu mengembara untuk membuat rangkaian perhubungan baharu," katanya selepas hampir dua tahun menutup negara Pasifik Selatan itu dalam usaha memerangi pandemik itu.

Di bawah sistem baharu, ketibaan antarabangsa akan menjalani pengasingan kendiri selama 10 hari berbanding kuarantin dalam tempoh sama yang dipantau anggota tentera negara itu.

Ardern berkata, sebelum ini sistem kuarantin dikenali sebagai MIQ menjadi bahagian penting dalam kejayaan New Zealand membendung pandemik itu dengan hanya 53 kematian direkodkan dalam populasi lima juta.

Beliau berkata, kadar vaksinasi yang tinggi di New Zealand iaitu hampir 95 peratus daripada penduduk dengan satu pertiga juga menerima penggalak, membolehkan perubahan itu dilakukan.

Sistem kuarantin tidak akan dilonggarkan sepenuhnya kerana ia masih diperlukan untuk ketibaan antarabangsa yang tidak divaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 10:00 AM