ARDERN ketika sidang media mengenai Covid-19 di Wellington, hari ini. FOTO AFP.
ARDERN ketika sidang media mengenai Covid-19 di Wellington, hari ini. FOTO AFP.
AFP

Wellington: New Zealand menarik semua sekatan domestik hari ini, selepas pesakit terakhir wabak itu disahkan bebas Covid-19.

Perkembangan terkini itu diraikan semua peringkat dengan Perdana Menterinya Jacinda Ardern menari di ruang tamu rumahnya apabila menerima perkhabaran berkenaan.

Bagaimanapun, negara itu masih mengekalkan kawalan ketat di pintu sempadan.

Ardern berkata, peraturan seperti penjarakan sosial dan mengehadkan jumlah orang dalam perhimpunan awam tidak diperlukan lagi.

"Kami yakin sudah menghapuskan penularan virus di New Zealand setakat ini," katanya ketika dalam siaran televisyen dan mengagumi rakyatnya yang bersatu bagi menghapuskan Covid-19.

Negara itu mempunyai populasi lima juta rakyat, merekodkan 1,154 kes Covid-19 dan 22 kematian. Tiada jangkitan baharu dilapor selama 17 hari dan hanya satu kes aktif setakat Isnin.

Maklumat lanjut pesakit terakhir itu tidak didedahkan, namun dipercayai wanita berusia 59 tahun yang mempunyai kaitan dengan kluster rumah penjagaan Auckland.

Ardern juga memberitahu, pengorbanan rakyat termasuk pematuhan terhadap perintah berkurung selama tujuh minggu telah berjaya mengurangkan jangkitan virus dan mereka dihadiahkan dengan ketiadaan kes aktif sehingga kini.

Ditanya bagaimana penerimaannya terhadap pesakit terakhir itu, Ardern berkata sangat gembira, "saya menari bersama 'baby Neve' (anak perempuannya)."

Langkah pencegahan New Zealand turun ke Tahap 1, peringkat terendah dalam sistem tindak balas virus empat peringkat, sekali gus bermaksud kelab malam dibenarkan beroperasi tanpa lantai tarian dan panggung boleh dibuka semula.

Tahap itu juga membenarkan acara sukan dijalankan dengan penonton di stadium. New Zealand Rugby (NZR) dilapor menawar pembukaan perlawanan Super Rugby Aotearoa dan dijangka menjadi perlawanan pertama berlangsung semula di dunia, minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 4:01 PM