INDONESIA mengehadkan jumlah pengunjung ke pusat beli-belah, pawagam dan restoran ketika cuti sempena Krismas dan Tahun Baru. FOTO EPA
INDONESIA mengehadkan jumlah pengunjung ke pusat beli-belah, pawagam dan restoran ketika cuti sempena Krismas dan Tahun Baru. FOTO EPA
BERNAMA

Jakarta: Indonesia mengesan dua lagi kes varian Omicron menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak tiga kes, kata pegawai Kementerian Kesihatan.

Dua kes baharu itu membabitkan lelaki berusia 42 tahun yang tiba dari Afrika Selatan dan lelaki berusia 50 tahun dari Britain, dikaitkan dengan lima kes disyaki Omicron yang diumumkan pada Khamis.

"Kes itu dikesan menerusi pemeriksaan khas S-Gene Target Failure yang dijalankan Agensi Penyelidikan dan Pembangunan Kesihatan pada 14 hingga 15 Disember.

"Agensi itu mengesan varian Omicron ke atas dua orang yang menjalani kuarantin wajib 10 hari di hospital Wisma Atlet selepas pulang dari luar negara," kata jurucakapnya Dr Siti Nadia Tarmizi.

Kementerian mengesan kes Omicron pertama, pada petang Rabu, membabitkan seorang pekerja di Wisma Atlet, pusat isolasi terbesar negara itu terletak di Jakarta Utara.

Dr Siti Nadia merayu kepada orang awam untuk terus berwaspada dan tidak melakukan perjalanan ke luar negara kerana kes Covid-19 di Amerika Syarikat, Eropah dan di negara-negara Afrika masih tinggi.

"Amat penting bagi kita untuk melindungi orang sekeliling, supaya mereka tidak dijangkiti Covid-19, terutamanya varian Omicron," katanya.

Indonesia menjadi pusat pandemik Covid-19 di Asia dengan 54,000 kes jangkitan direkodkan pada pertengahan Julai tahun ini, tetapi kini kes jangkitan terus menunjukkan trend penurunan.

Semalam, 291 kes baharu COVID-19 direkodkan, meningkatkan jumlah jangkitan kepada 4,260,148.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 3:17 PM