DAVID Avila Mellado. FOTO Agensi
DAVID Avila Mellado. FOTO Agensi
Agensi

Sydney: Seorang lelaki warga emas dari Australia yang pernah menderita selama 399 hari akibat jangkitan Covid-19 menggesa orang ramai supaya mengambil suntikan vaksin.

ABC News melaporkan David Avila Mellado, 69, dimasukkan ke Hospital Westmead di sini akibat jangkitan Covid-19, pada 29 Julai tahun lalu.

Lelaki itu hanya baru dibenarkan pulang ke rumahnya awal bulan ini.

Mellado menyifatkan suntikan vaksin perlu kerana wabak Covid-19 adalah benar dan berharap orang ramai tidak ragu-ragu untuk mengambilnya.

"Ada ramai individu enggan divaksin kerana mereka tidak mempercayai virus itu tetapi ia benar.

"Mereka harus memahami perlu mendapatkan vaksin dan membantu orang lain.

"Saranan saya adalah memberitahu orang ramai supaya tidak menunggu, cuba dapatkan vaksin secepat mungkin," katanya.

Mellado berkata, selepas dijangkiti Covid-19, dia pernah koma selama beberapa minggu hingga tidak tahu nama dan apa yang berlaku di sekelilingnya.

"Tetapi kini dapat menyebut nama saya. Saya dapat mengucapkan terima kasih," katanya.

Mellado pernah menghabiskan tujuh minggu di unit rawatan rapi sebelum dipindahkan ke unit pemerhatian pernafasan pada bulan ini.

Gambar dimuat naik di Facebook (Fb) Western Sydney Health menunjukkan Mellado menerima tepukan dan ucapan daripada kakitangan perubatan, selepas pulih daripada virus itu.

Detik itu juga menyaksikan pertemuan kali pertama Mellado dengan cucunya.

"Saya ingat semua keluarga besar saya di sini, Saya ada di hati saya semua orang," katanya.

Pegawai kesihatan memberitahu tiub trakeostomi pada lelaki itu akhirnya dikeluarkan pada 10 Ogos lalu selepas lebih setahun Mellado tidak dapat bernafas secara normal atau bercakap.

Mellado berterima kasih kepada kakitangan hospital kerana membantunya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 7:00 AM