KAWANAN gajah berehat dalam hutan sebelum memulakan perjalanan kembali ke habitat asal. FOTO AGENSI
KAWANAN gajah berehat dalam hutan sebelum memulakan perjalanan kembali ke habitat asal. FOTO AGENSI
Agensi

Beijing: Selepas setahun setengah menempuh pengembaraan 1,300 kilometer (km) dengan melalui tiga bandar dan lapan wilayah, 14 gajah liar Asia yang tersesat akhirnya menyeberangi Sungai Yuanjaing untuk kembali semula ke habitat asalnya.

Global Times melaporkan kepulangan yang dinanti-nantikan itu mendapat reaksi gembira daripada netizen.

Pakar yang dihubungi oleh Global Times mengatakan, kejayaan itu sebahagian besarnya dapat dikaitkan dengan panduan berkesan pihak berkuasa hidupan liar tempatan.

Pihak berkenaan meramalkan kawanan haiwan yang mula bergerak pada Mac 2020, kini menuju ke selatan iaitu habitat asalnya di Pu'er, selatan wilayah Kunming.

Gajah itu dipandu oleh pasukan kerja khas untuk menyeberangi Sungai Yuanjiang melalui jambatan dan selamat tiba di tebing di selatan sungai.

Untuk memberi laluan kepada haiwan itu, pihak berkuasa tempatan mengehadkan lalu-lintas dan lampu berhampiran sungai, lapor Caixin.

Dari kamera pengawasan yang disediakan oleh bomba wilayah, gajah itu kelihatan berbaris seekor demi seekor untuk menyeberang jambatan.

Trak diparkir di samping untuk menyekat sebarang gangguan.

Pasukan kerja akan terus memandu kawanan itu kembali ke habitat asalnya di Hutan Simpanan Xishuangbanna sambil memastikan keselamatan dan kesihatan haiwan itu, kata pihak berkuasa tempatan.

"Kembalinya gajah ada kaitannya dengan campur tangan aktif oleh pemerintah daerah, yang mengikuti gerakan kawanan itu dan memandu sambil melindungi haiwan dari bahaya," Sun Quanhui, seorang saintis dari Pertubuhan Perlindungan Haiwan Dunia.

Dron diterbangkan untuk mengawasi kawanan itu pada ketinggian 300 meter, kata Yang Xiangyu, ketua pasukan kerja khas pemadam kebakaran hutan wilayah.

Mereka juga menggunakan jagung untuk menarik perhatian gajah supaya menuju laluan yang betul, tambah Yang.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan sepanjang perjalanan mamalia itu, tiada kes kematian dan kecederaan manusia dilaporkan susulan pelaksanaan langkah keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan.

Setakat 8 Ogos lalu, lebih 25,000 anggota polis dan petugas dikerah untuk memantau pergerakan kawanan gajah itu, selain menggunakan 973 dron serta menempatkan 15,000 kenderaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, lebih 150,000 penduduk dipindahkan ke kawasan lain bagi tujuan keselamatan, manakala sebanyak 180 tan makanan turut disediakan kepada kumpulan gajah berkenaan.

Selain itu, 13 pakar dari Pusat Penyelidikan Gajah Asia Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput Negara, Institut Zoologi Kunming, Universiti Yunnan, Universiti Perhutanan Beijing dan jabatan lain turut memberikan panduan saintifik dan sokongan teknikal sepanjang pengembaraan gajah berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan akan mendokumentasikan pengalaman mengendalikan keadaan itu untuk rujukan di masa depan.

Namun, sehingga kini tidak dapat dipastikan sebab sebenar gajah itu melakukan perjalanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 6:00 AM