SUPRI ketika keluar dari longkang. FOTO Agensi
SUPRI ketika keluar dari longkang. FOTO Agensi
Agensi

Bandung: Lelaki di sini yang ditahan polis kerana kerana disangka penceroboh, rupa-rupanya adalah pencari paku terpakai.

Apa yang mengejutkan, dia terpaksa mencari rezeki dengan cara sedemikian kerana kesempitan hidup.

Portal Suarajabar melaporkan, video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang lelaki dikenali sebagai Supri keluar dari longkang.

Alasan Supri ketika ditahan polis adalah dia memasuki longkang itu untuk mencari paku terpakai.

Setiap hari, Supri dengan berbekal lampu suluh di kepala, rela memasuki saluran air yang sempit dan kotor, dengan pengudaraan terhad untuk mencari dan mengumpulkan paku terpakai.

Dia selalunya dapat mengumpul antara lima hingga tujuh kilogram paku terpakai yang kemudian dijual kepada pemungut besi.

Supri mengatakan, dengan cara itu, dia boleh mendapatkan pendapatan kira-kira 7,500 hingga 15,000 rupiah (RM2.19 hingga RM4.38 ) untuk menampung hidupnya.

Namun, tindakan itu dianggap bahaya berikutan udara yang terhad dalam longkang yang sempit itu.

Video itu tular dan ditonton hingga 371,592 kali sehingga mengundang sedih dan simpati.

"Senyumnya tulus, pandangannya syahdu, ini orang jujur gigih dan sabar. Semoga dilancarkan rezekinya, Amin," tulis @syndluouzz.

BBC melaporkan negara itu sudah melaksanakan beberapa peraturan kawalan untuk mencegah penularan Covid-19, sejak tahun lalu.

Ia bermula dengan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) pada Mac 2020, kemudian Pelaksanaan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) mulai Januari lalu.

Pemerintah kemudian melaksanakan PPKM Mikro di seluruh wilayah dan menggantikannya kepada PPKM Darurat pada awal Julai di wilayah Jawa-Bali susulan lonjakan kes selepas Hari Raya Aidilfitri.

Setelah tamatnya PPKM Darurat, kerajaan melanjutkan sekatan dengan PPKM Tahap 1 hingga 4, yang dijadualkan berakhir 2 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 1:27 PM