BOT nelayan Palestin di Gaza. FOTO EPA
BOT nelayan Palestin di Gaza. FOTO EPA
BERNAMA

Gaza: Israel pada Jumaat mengumumkan beberapa kelonggaran sekatan di Semenanjung Gaza, termasuk berhubung zon menangkap ikan, lapor agensi berita Xinhua.

"Pada Ahad, dibenarkan untuk membawa masuk peralatan dan barangan ke Gaza, termasuk bahan untuk projek menerusi dana komuniti antarabangsa meliputi aspek makanan, air, ubat-ubatan dan perikanan," kata Ketua cabang tentera yang bertanggungjawab untuk urusan sivil di wilayah Palestin (Cogat), Ghassan Alian, menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, penduduk Gaza boleh melakukan perjalanan ke Jordan menerusi Israel.

Kawasan di jajahan rejim itu juga membenarkan kemasukan 29 kenderaan ke Gaza yang sebelum ini ditahan di pelabuhan Israel, sejak Mei lalu, kata kenyataan berkenaan.

Ia menambah bahawa melonggarkan sekatan selepas penilaian mengenai situasi keselamatan dengan kelulusan politik.

Zakaria Bakker, penyelaras jawatankuasa nelayan di Gaza, memberitahu Xinhua bahawa Israel sudah memaklumkan kepada Palestin bahawa kebenaran zon menangkap ikan akan diperluas kepada 12 batu nautika mulai Jumaat.

Empat hari lalu, Israel mengurangkan zon menangkap ikan itu susulan belon api yang dilancarkan dari Gaza ke kawasan jajahan Israel pada 25 Julai, yang menyebabkan kebakaran dan kerugian yang besar.

Israel mengenakan sekatan yang ketat ke atas Semenanjung Gaza sejak Hamas mengawal wilayah berkenaan pada 2007.

Ia semakin diperketat ketika pertempuran 11 hari dengan pejuang bersenjata diketuai Hamas berakhir 21 Mei lalu, yang menyebabkan 250 orang Palestin dan 13 orang Israel terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 10:39 AM