SEORANG kanak-kanak melakukan lompatan ke dalam terusan ketika cuaca panas di Sri Ganganagar. FOTO AFP
SEORANG kanak-kanak melakukan lompatan ke dalam terusan ketika cuaca panas di Sri Ganganagar. FOTO AFP
AFP

Sri Ganganagar, India: Menghadapi cuaca panas di bandar gurun Sri Ganganagar adalah perkara yang sangat sukar bagi penduduk kawasan ini terutama mereka yang dihimpit kemiskinan.

Bagi mereka yang tinggal di negara kaya, cuaca panas boleh dihadapi dengan penyaman udara atau peralatan moden dan mewah namun keadaan berbeza di wilayah ini di mana sebahagian besar masih tidak menikmati kemudahan air paip.

Sri Ganganagar yang terletak di Rajasthan berhampiran sempadan Pakistan, adalah tempat paling panas di India dengan suhu mencecah 50 darjah Celsius.

Daerah yang menempatkan dua juta penduduk itu perlu memulakan aktiviti awal pagi ketika musim panas tiba.

Ini kerana menjelang tengah hari di saat matahari memancar terik, mereka akan berteduh di rumah sehingga lewat petang.

"Pada waktu tengah hari, hanya mereka yang terpaksa berada di luar saja masih tidak pulang ke rumah," kata penjual buah, Dinesh Kumar Shah sambil menunjukkan payung besar tempatnya berteduh.

Hanya beberapa individu bernasib baik memiliki penyaman udara dan kebanyakannya menggunakan kipas dan penyejuk udara murah selain memasang langsir tebal dikenali sebagai 'tarpal' untuk menghalang cahaya matahari.

"Kami yang miskin sangat terkesan. Kipas di rumah kami hanya mengeluarkan haba panas.

"Keadaan ini sangat sukar untuk kanak-kanak di rumah. Namun, tidak ada apa dapat kami lakukan. Kami hanya perlu hadapinya," kata Kuldeep Kaur.

Suhu di India meningkat secara purata 0.7 darjah Celsius antara awal kurun ke-20 dan 2018. Ia dijangka meningkat 4.4 darjah Celsius lagi pada 2100, menurut laporan terbaru kerajaan.

Kajian itu juga meramalkan kekerapan gelombang panas meningkat tiga hingga empat kali ganda berbanding pada 1976-2005, dan tempohnya mungkin dua kali ganda lebih lama.

Gelombang panas berterusan boleh menyebabkan kematian terutama apabila digabungkan dengan kadar kelembapan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 7:20 AM