GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Sydney: Varian baharu Covid-19 dikenali sebagai Varian Lambda, kini menular ke lebih 30 negara, dalam tempoh empat minggu lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kemas kini Epidemiologi Mingguan Covid-19 masih mengklasifikasikan varian ini sebagai varian yang perlu mendapat perhatian (VOI).

New Zealand Herald melaporkan, varian baharu itu sudah dikesan di Australia.

Varian itu pertama kali dikesan di Peru dan dikaitkan dengan lebih 801 peratus kes di negara berkenaan, sejak April.

Peru mempunyai kadar kematian paling tinggi akibat Covid-19 di dunia.

Di Australia, varian itu dikesan dalam kalangan pengembara luar negara yang menghuni hotel kuarantin di New South Wales, pada April.

Kajian awal menunjukkan ia masih belum menular dalam komuniti di Australia.

Menurut portal itu, varian berkenaan baru menular dalam komuniti di United Kingdom (UK), dengan enam kes dilaporkan, pada Isnin.

Ia dianggap membimbangkan kerana UK sudah melonggarkan peraturan kawalan selepas 37 juta penduduknya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos Covid-19.

Kehidupan penduduk UK sudah kembali seperti biasa, dengan pub dibanjiri oleh peminat bola sepak yang mahu menyaksikan perlawanan bola sepak negara mereka.

Bagaimanapun, kebebasan ini dilihat 'memberi' peluang kepada varian Lambda untuk menular dalam masyarakat.

Prof Pablo Tsukayama dari Universiti Cayetano Heredia di Lima, Peru, berkata, varian itu menular dengan pantas di Peru dan berpendapat bahawa 'kadar penularannya lebih tinggi berbanding varian lain'.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 5:58 PM