PENDUDUK mengangkat mayat ahli keluarga mereka dan melalui kubur cetek di pinggir Sungai Gangga di kampung Shringverpur, 40 kilometer dari Prayagraj. FOTO AFP.
PENDUDUK mengangkat mayat ahli keluarga mereka dan melalui kubur cetek di pinggir Sungai Gangga di kampung Shringverpur, 40 kilometer dari Prayagraj. FOTO AFP.
Agensi

New Delhi: Bukan hanya polis, pihak berkuasa daerah dan negeri juga keluar masuk kawasan Gahmar Ghat terletak di Ghazipur, Uttar Pradesh, utara India, dengan masing-masing memberi satu arahan yang sama.

Arahan itu, "pastikan tiada mayat yang tidak dibakar berada di 'ghat' (laluan ke sungai)" yang diulang sekali lagi oleh ketua daerah Ramesh Maurya pada Sabtu, menurut The Indian Express.

Gahmar Ghat menjadi tumpuan selepas penemuan banyak mayat di tebing Sungai Gangga dan tidak jauh dari situ, iaitu di Unnao, kira-kira 200 mayat terdampar di pesisir sungai sama.

Pihak berkuasa mengesahkan mayat berkenaan adalah pesakit Covid-19 yang ditanam dalam kubur cetek di pinggir sungai atau dihanyutkan, selepas kos pembakaran mayat didakwa tinggi dan kayu tidak cukup.

"Sudah tidak ada lagi masalah kekurangan kayu (untuk pembakaran). Jadi mayat perlu dibakar sempurna," kata Ramesh mengingatkan penduduk kawasan berkenaan.

Sejak tiga hari lalu, perkampungan Gahmar yang terletak tujuh kilometer dari sempadan Bihar sibuk dengan pihak pentadbiran serta penduduk bekerjasama mengebumikan mayat, sama ada dengan bakar atau tanam.

Pekerja Gahmar Ghat, Kamla Devi Dom menyifatkan suasana di kawasan itu satu pemandangan yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

"Kami guna bot untuk menarik mayat ke tepi sungai. Udara di sini pun berbau mayat. Ada kira-kira 80 mayat ditemui sekitar sini," katanya.

Tukang gunting dari Baksar Ghat, Pradeep Kumar berkata, gelombang kedua Covid-19 menyebabkan kos pembakaran mayat meningkat.

"Satu timbunan kayu membakar mayat yang sebelum ini berkos Rs 500 (RM28.15) meningkat antara Rs 1,500 (RM84.45) ke Rs 2,000 (RM112.60) dan keseluruhan proses pengebumian cecah Rs 10,000 (RM562.98)," katanya yang memberitahu ramai tidak berkemampuan memilih menguruskan mayat cara sendiri.

Motu Kashyap yang menanam mayat bapanya berusia 87 tahun di tapak itu minggu lalu berkata, "pembakaran bukan pilihan untuknya."

Pada Jumaat, kerajaan negeri mengarahkan Pasukan Tindakan Bencana Negeri dan polis melakukan rondaan di sepanjang pinggir sungai negeri itu bagi memastikan tiada mayat terbiar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 5:14 PM