PEKERJA memindahkan bara daripada gok.
PEKERJA memindahkan bara daripada gok.
Shahrul M Zain


DERUMAN enjin bot memecah kesunyian sebaik tiba di kawasan kilang arang Kuala Sepetang, Taiping, Perak.

Dinding papan kilang yang usang dengan wap berupa asap keluar daripada celahan dinding hasil pembakaran arang mewujudkan suasana klasik perusahaan tertua ini.

Ketibaan kami disambut Zukri Zubir yang mewarisi perusahaan keluarga sejak 1960 daripada bapa dan datuknya.

Melihat kepada bot yang menghampiri tebing, dua hingga tiga pekerja mulai sibuk memunggah kayu pokok bakau untuk dikumpulkan di tebing sebelum bot kembali menderum keluar daripada anak sungai menghala kuala Sungai Kapal Changkol.

Suasana persekitaran kelihatan redup dengan sekali sekala disimbah cahaya matahari menjadikan masa seolah-olah tidak bergerak apabila mata dan telinga leka menyaksikan pekerja kilang arang berulang-alik memeriksa dapur ataupun dikenali sebagai gok (panggilan lain dapur atau tanur)

BARA api dikeluarkan untuk proses penyejukan.
BARA api dikeluarkan untuk proses penyejukan.

Struktur binaan gok seperti iglu diperbuat daripada batu bata dan tanah lumpur menambah lagi keinginan penulis untuk mengetahui bagaimana proses arang ini dihasilkan.

Tanpa membuang masa Zukri terus menerangkan satu persatu mengenai proses membuat arang dan sedikit latar belakang.

Zukri berkata, perusahaan arang keluarganya dimulakan datuknya, Khalid Ismail pada 1960 sehingga 1990 seterusnya bapa, Zubir Khalil (1990 hingga 2010) dan kini beliau meneruskan legasi bersama adik-beradiknya sebagai pengurus kilang.

"Pemilihan kayu yang terbaik dengan kualiti gred A dan B, kayu bakau adalah yang terbaik untuk menghasilkan kayu arang berbanding kayu getah. Kos menelan belanja sekitar 450,000 untuk membina dapur, bot, proses dan upah pekerja.

"Kebanyakan pekerja di kilang arang adalah penduduk tempatan yang memiliki pengetahuan luas selain ada yang mewarisi pekerjaan daripada orang tua mereka.

"Bahan seperti bata, pasir dan tanah merah digunakan untuk membina relau atau dapur berukuran lapan meter lebar dan lima meter tinggi," katanya.

Arang yang siap diproses akan dihantar ke kilang untuk diproses menjadi pelbagai produk sampingan seperti kosmetik dan pertanian seperti baja organik, manakala wap daripada pembakaran juga disuling menjadi cuka selain bahan dalam memproses baja.

PEKERJA membungkus arang yang ditempah pelanggan.
PEKERJA membungkus arang yang ditempah pelanggan.

Proses penghasilan arang

Terdapat dua jenis pokok bakau iaitu pokok bakau kurap (Rhizophora mucronata) dan bakau minyak (Rhiziphora Apiculato) berusia sekurang-kurangnya 30 tahun untuk ditebang bagi mendapatkan hasil kayu arang terbaik.

Kawasan yang diberikan permit penebangan akan dimasuki pekerja untuk proses penebangan pokok menggunakan gergaji rantai.

Setiap pokok yang ditebang akan dikerat sepanjang dua meter dan diangkut menggunakan bot untuk dihantar ke kilang arang.

Sungai semula jadi adalah laluan terpenting bagi membawa kayu bakau ke kilang arang yang kebanyakannya terletak di pinggir sungai.

ARANG kayu kecil dijual kepada pengunjung untuk dibawa pulang sebagai cenderahati.
ARANG kayu kecil dijual kepada pengunjung untuk dibawa pulang sebagai cenderahati.

Sebaik bot tiba di kilang, kayu akan dipunggah ke darat untuk proses pengeringan antara dua hingga tiga hari. Kayu yang kering akan diangkut ke tempat pembakaran iaitu gok.

Gok yang diperbuat menggunakan batu bata dan selut tanah bercampur pasir halus akan dibentuk separuh bulat dengan satu pintu masuk.

Selain, empat lubang asap platform pembakaran di bawah kilang berbumbung bertujuan mengelakkan daripada terkena hujan.

Seterusnya kayu bakau disusun secara menegak sehingga penuh dan satu gok mampu memuatkan sehingga 1,400 kayu bakau.

Kualiti kayu arang yang dibakar boleh dinilai melalui tiga kaedah iaitu dengan melihat kepada jenis warna asap yang terhasil daripada lubang asap atau hanya menggunakan tangan dalam menentukan kelembapan wap bagi arang siap dimasak sepenuhnya.

Selepas kayu bakau menjadi arang, gok akan melalui proses penyejukan sebelum pekerja mengeluarkan arang untuk dimuatkan dalam lori, ditimbang dan dihantar ke kilang pemprosesan terakhir untuk dijadikan pelbagai produk.

Mengimbau sejarah, Kuala Sepetang ini dahulu cukup terkenal sebagai pusat perlombongan bijih timah sehingga melahirkan seorang tokoh perusahaan seperti Che Ngah Ibrahim atau gelarannya Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim Jaafar sekitar 1870-an.

Namun atas beberapa peristiwa industri perlombongan bijih timah mulai berkurangan sehingga banyak lombong di daerah Larut ditinggalkan.

Kini Kuala Sepetang dikenali sebagai antara pengeluar arang kayu daripada pokok bakau terbaik dunia. Menariknya, industri arang kayu ini bertapak sejak 1930 sehingga kini dan turut dikenali di luar negara.

Bukan sekadar itu, Kuala Sepetang hari ini turut menjadi lokasi melihat ikan lumba-lumba menggunakan bot yang boleh diuruskan Mohd Jusri Yusof.

Ikan lumba-lumba hanya boleh dilihat hanya enam hari dalam sebulan!

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 7:00 AM