GAMBAR HIASAN. FOTO Agensi
GAMBAR HIASAN. FOTO Agensi
AFP

New Delhi: Perkhidmatan krematorium di India mula mengenakan caj lebih tinggi memandangkan banyak mayat perlu diuruskan sehari selepas berlaku peningkatan mendadak kematian akibat Covid-19.

Dua krematorium di Lucknow memberikan token bernombor kepada ahli keluarga mangsa dan mereka perlu menunggu sehingga 12 jam.

Rohit Singh yang bapanya meninggal dunia akibat Covid-19 berkata, pegawai krematorium mengenakan caj 7,000 rupees (kira-kira RM385), hampir 20 kali ganda berbanding caj biasa.

Malah, sebahagian krematorium di Lucknow mula kekurangan kayu dan meminta waris mangsa membawa kayu sendiri.

Tempat paling utama bagi penganut Hindu untuk dikremasi adalah Varanasi, kota kuno di mana sejak dahulu lagi mayat dibakar di tebing Sungai Ganges.

Belbhadra, yang bekerja di lokasi pembakaran itu berkata, mereka membakar sekurang-kurangnya 200 mangsa Covid-19 sehari.

Tempoh yang diperlukan untuk sampai ke tebing berkenaan dari jalan utama adalah sekitar tiga ke empat minit, namun ia kini mencecah 20 minit.

Di New Delhi, ketika AFP melawat tanah perkuburan Islam Jadid Qabristan Ahle, 11 jenazah tiba dalam tempoh tiga jam.

Menjelang senja, 20 jenazah sudah dikebumikan.

Penggali kubur, Mohammed Shamim berkata, dia melihat berlakunya peningkatan mendadak jumlah jenazah yang diuruskan sejak beberapa minggu ini.

"Virus ini seolah-olah mempunyai kaki. Jika keadaan ini berterusan, kami akan kekurangan ruang dalam tempoh tiga hingga empat hari," katanya.

Katanya, dua hari lalu, seseorang datang berjumpanya dan mengatakan bahawa dia perlu bersedia untuk menguruskan jenazah ibunya.

"Lelaki itu berkata dia perlu membuat persiapan kerana doktor menyatakan bahawa tiada harapan untuk ibunya.

"Saya tidak percaya bahawa saya akan berdepan situasi ini di mana ahli keluarga meminta persiapan (pengebumian) dilakukan untuk orang yang masih hidup," katanya.

Secara rasmi, hampir 180,000 penduduk India maut akibat Covid-19 dengan 15,000 daripadanya direkodkan pada bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 6:45 PM