PENGGUNAAN katil di wad ICU kini dilaporkan semakin kritikal, sekali gus mengundang seluruh warga semakin bertanggungjawab dan mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.
PENGGUNAAN katil di wad ICU kini dilaporkan semakin kritikal, sekali gus mengundang seluruh warga semakin bertanggungjawab dan mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.
Syarifah Dayana Syed Bakri

PADA Jumaat lalu, ketika sedang berehat-rehat selepas menyelesaikan tugasan di rumah, saya mengambil peluang melihat mesej yang masuk di WhatsApp.

Seorang rakan sekerja berkongsi infografik mengenai angka terbaharu kes jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Angka yang dipaparkan adalah 10,806! Ketika melihat infografik itu, jantung saya berdegup kencang kerana tidak percaya negara kita merekodkan angka jangkitan setinggi itu.

Namun, kerja sebagai wartawan di era berita palsu tersebar luas ini memerlukan kami memeriksa sumber lain untuk mengesahkan sesuatu maklumat.

Ternyata, angka sebenar jangkitan Covid-19 pada hari berkenaan adalah 6,493. Satu angka yang masih tinggi juga apatah lagi selepas kita meraikan Aidilfitri.

Bagaimana kita boleh catatkan angka setinggi itu sedangkan kerajaan sudah mengeluarkan larangan rentas negeri dan aktiviti ziarah pada Aidilfitri juga tidak dibenarkan?

Berdasarkan laporan media baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, pesakit kronik yang dianggap tiada harapan untuk sembuh, tidak lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Kedah berikutan jumlah katil sangat terhad ketika ini.

Katanya, walaupun jumlah katil di ICU masih mencukupi, pihaknya bimbang jika pesakit kritikal lain tidak dapat dimasukkan ke ICU yang kini dipenuhi pesakit Covid-19.

Menurutnya, pegawai perubatan bertugas terpaksa membuat penilaian cukup berat dalam memilih antara pesakit kritikal dan pesakit Covid-19 yang perlu dimasukkan segera ke ICU.

Ia mengingatkan situasi hampir sama berlaku di India di mana doktor perlu memilih pesakit yang 'perlu mati' atau 'boleh terus hidup.'

AFP melaporkan New Delhi mengalami krisis paling teruk dengan ramai pesakit mati di pekarangan hospital sementara menunggu rawatan, selain terpaksa berkongsi katil dan bekalan oksigen.

Jumlah kemasukan pesakit juga melebihi bilangan katil dan lebih menakutkan apabila fasiliti kesihatan termasuk hospital utama hampir kehabisan bekalan oksigen.

Malah, The Indian Express melaporkan Gahmar Ghat yang terletak di Uttar Pradesh, India menjadi tumpuan selepas penemuan banyak mayat di tebing Sungai Gangga dan tidak jauh dari situ iaitu di Unnao, kira-kira 200 mayat terdampar di pesisir sungai sama.

Pihak berkuasa mengesahkan mayat berkenaan adalah pesakit Covid-19 yang ditanam dalam kubur cetek di pinggir sungai atau dihanyutkan selepas kos pembakaran mayat didakwa tinggi dan kayu tidak mencukupi.

Tukang gunting dari Baksar Ghat, Pradeep Kumar berkata, gelombang kedua Covid-19 menyebabkan kos pembakaran mayat meningkat.

Katanya, satu timbunan kayu membakar mayat yang sebelum ini menelan kos Rs500 (RM28.15) meningkat antara Rs1,500 (RM84.45) ke Rs2,000 (RM112.60) dan keseluruhan proses pengebumian mencecah Rs10,000 (RM562.98) menyebabkan ramai keluarga tidak berkemampuan memilih menguruskan mayat cara sendiri.

Saya yakin kita tidak mahu situasi sama berlaku di Malaysia. Berdasarkan perkongsian Dr Hana Hadzrami di Facebook pada 20 Mei lalu, hospital tempatnya bertugas sudah mula menerima pesakit Covid-19 hasil aktiviti ziarah Aidilfitri.

Katanya juga jangan sangka Covid-19 hanya membunuh warga emas kerana angka kematian paling tinggi adalah mereka berusia 50-an - umur belum cecah usia pencen.

Malah, katanya, gelombang terbaru ini lebih ganas kerana mereka berusia 30 hingga 40 tahun dan tiada penyakit pun turut tewas.

Dr Hana juga menyatakan kos penggunaan ventilator di ICU boleh mencecah antara RM15,000 hingga RM20,000 sehari.

Satu angka yang mungkin syarikat insurans atau takaful juga takut nak tanggung.

Dalam keadaan genting ketika ini, usah kita menyalahkan pihak lain kerana tak ketatkan peraturan atau tak tegas mengawal orang awam.

Pokok pangkalnya adalah diri sendiri. Jika kerajaan tetapkan tidak boleh rentas negeri, maka usah mereka-reka alasan untuk merentas negeri. Jika tidak boleh berkumpul beramai-ramai, usah buat demikian.

Buat masa ini, jaga diri sendiri kerana untuk berlindung di bawah imuniti kelompok, belum tentu dapat dicapai tahun ini.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 5:59 AM