GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Agensi

Hong Kong: Wanita berusia 90 tahun di sini kerugian hampir 250 juta dolar Hong Kong (kira-kira RM132 juta) selepas menjadi mangsa sindiket penipuan melalui panggilan telefon.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, ia selepas wanita itu membuat 11 transaksi pemindahan wang miliknya ke sebuah akaun tidak dikenali.

Susulan itu, polis mengesahkannya sebagai kes sindiket penipuan panggilan telefon terbesar di bandar ini.

Difahamkan, wanita itu terpedaya selepas menerima panggilan daripada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai keselamatan awam China.

Menerusi panggilan berkenaan, wanita itu diberitahu yang identiti dan maklumat peribadinya digunakan untuk melakukan jenayah serius di China.

"Wanita itu kemudian diminta memindahkan wang segera kerana kononnya untuk 'dipegang' oleh pasukan penyiasatan.

"Selain itu, individu berkenaan mendakwa wang itu akan dipulangkan kepadanya selepas siasatan," kata polis.

Beberapa hari kemudian, wanita itu didatangi seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga penuntut universiti.

Menurut polis, remaja itu menyerahkan telefon bimbit dan kad SIM untuk wanita berkenaan berkomunikasi dengan 'ejen keselamatan.'

Susulan itu, wanita berkenaan melakukan 11 transaksi pindahan wang kepada tiga akaun, antara Ogos dan Januari lalu.

Bagaimanapun, mangsa kemudian mengesyaki dia ditipu sebelum membuat laporan polis.

Susulan kejadian, polis menahan remaja berkenaan dan membekukan akaun bank mengandungi sembilan juta dolar Hong Kong (kira-kira RM4.76 juta).

Bagaimanapun, bakinya sudah 'dilarikan' oleh ahli sindiket berkenaan.

Hong Kong satu destinasi tumpuan jutawan namun kebanyakannya lemah dan tua hingga mudah menjadi sasaran sindiket penipuan.

Difahamkan, wanita itu tinggal di The Peak iaitu kawasan perumahan elit di Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 7:50 AM