GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG pesara guru wanita mengalami kerugian RM197,000 selepas diperdaya seorang individu menyamar sebagai warga Ukraine yang dikenali melalui Facebook (FB) pada Februari lalu.

Suspek kononnya ingin menjadikan mangsa berusia 58 tahun itu sebagai kakak angkat kerana akan bertugas di Sabah untuk satu projek minyak dan gas.

Dalam kejadian 10 April lalu, wanita yang menetap di Pendang itu dikatakan menerima panggilan daripada kenalan FB terbabit mendakwa ditahan pihak kastam atas kesalahan membawa wang tunai Dolar Amerika Syarikat (USD) melebihi had.

Susulan daripada itu, mangsa kemudian dihubungi seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai kastam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Superintendan Annuar Amri Abd Muluf berkata, ‘pegawai kastam’ itu memberitahu mangsa bahawa kenalannya akan ditahan berikutan kesalahan membawa masuk wang USD melebihi had.

Beliau berkata, mangsa perlu membayar sebanyak RM77,000 untuk membebaskan kenalannya itu.

Berikutan itu, katanya, mangsa membuat transaksi wang yang diminta ke akaun bank milik seorang wanita.

“Selepas dibebaskan oleh ‘pihak kastam’, kenalan FB itu berjanji akan membayar semula wang mangsa selain meminta mangsa meminjamkan akaun bank bagi tujuan ingin memasukkan wang RM2 juta untuk tujuan perniagaan di Malaysia.

“Kemudian, mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mengaku ‘pegawai bank’ dari Pulau Pinang memberitahu terdapat transaksi wang hendak dibuat ke akaun bank mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Annuar Amri berkata, mangsa kemudian dihubungi kenalan FBnya yang kemudian meminta mangsa membayar cukai antarabangsa berjumlah RM40,000 ke akaun bank syarikat.

Beliau berkata, selepas itu ‘pegawai bank’ terbabit memaklumkan mangsa mempunyai hutang tunggakan rumah dan mengarahkan mangsa membuat bayaran RM75,000 ke akaun bank individu lain sebelum wang RM2 juta berkenaan dapat dipindahkan ke akaun mangsa.

“Mangsa kemudian membuat pembayaran seperti diarahkan oleh ‘pegawai bank’ berkenaan, namun ‘pegawai bank’ itu memberitahu bahawa tempoh pembayaran sudah tamat tempoh menyebabkan wang RM2 juta tidak dapat dikreditkan ke akaun mangsa serta perlu diserahkan kepada Bank Barclays International Kuala Lumpur.

“Mangsa kemudian dihubungi seseorang yang mengaku ‘pegawai Bank Barclays International’ meminta mangsa membayar cukai RM5,000 ke dalam satu akaun seorang wanita jika mangsa mahu mendapatkan semula wang RM2 juta berkenaan,” katanya.

Berikutan, beliau berkata, mangsa memasukkan jumlah wang diminta itu secara berperingkat iaitu empat kali transaksi melalui perkhidmatan kaunter ke akaun bank berkenaan.

Menurutnya, mangsa menyedari ditipu selepas anaknya mendapat tahu mangsa sudah pun mengeluarkan semua wang simpanan pesara miliknya.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis pada 29 Jun lalu dan dia mengesyaki sudah diperdaya oleh sindiket Parcel Scam didalangi warga Afrika.

“Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Annuar Amri berkata, dalam tempoh Januari hingga Jun lalu, sebanyak 35 kes penipuan membabitkan sindiket penipuan menggunakan modus operandi itu dilaporkan di Kedah membabitkan jumlah kerugian melebihi RM725,921.

Berikutan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyasarkan golongan warga emas terutama pesara menyebabkan mangsa kerugian ratusan ribu ringgit.

“Jangan memberi sebarang tindak balas terhadap sebarang bentuk permintaan wang tidak kira dalam keadaan terdesak sekalipun.

“Selain itu jangan sesekali memasukkan wang ke dalam akaun individu tidak dikenali terutama mereka yang tidak pernah berjumpa bagi mengelakkan ditipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 10:16 PM