LAPANGAN terbang di Jeddah. FOTO fail AFP
LAPANGAN terbang di Jeddah. FOTO fail AFP
BERNAMA

Jeddah: Saudi Arabian Airlines (SAUDIA), syarikat penerbangan Arab Saudi, pada Isnin mengumumkan perjanjian kerjasama dengan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) untuk percubaan Pas Perjalanan IATA, bertujuan menyediakan perjalanan antarabangsa yang selamat dan membantu pemulihan sektor penerbangan daripada kesan pandemik Covid-19.

Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan Pas Perjalanan IATA ialah aplikasi mudah alih yang membolehkan penumpang membuat pasport digital mengandungi data ujian saringan dan vaksin, boleh dikongsi secara selamat, bagi memastikan peraturan kesihatan dipatuhi ketika pelepasan dan ketibaan ke lokasi tujuan.

SAUDIA sedia untuk memperkenalkan pas perjalanan IATA di rangkaiannya, bermula dengan percubaan di laluan Kuala Lumpur - Jeddah pada 19 April 2021.

Pelanggan SAUDIA diminta mengunjungi makmal yang ditentukan di Malaysia untuk melengkapkan syarat ujian PCR.

Keputusan ujian boleh dimuat naik di Aplikasi Perjalanan IATA untuk digunakan dalam perjalanan ke Arab Saudi.

SAUDIA antara syarikat penerbangan terkemuka dunia yang bekerjasama dengan IATA untuk menyediakan perjalanan tanpa halangan.

Susulan percubaan itu, IATA akan berusaha membangunkan aplikasi baharu supaya dapat digunakan di seluruh rangkaian SAUDIA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 1:34 PM