MALAYSIA Airlines menjelaskan ujian ke atas pas perjalanan IATA membabitkan penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur ke London bagi tempoh 29 April lalu hingga 27 Mei depan.
MALAYSIA Airlines menjelaskan ujian ke atas pas perjalanan IATA membabitkan penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur ke London bagi tempoh 29 April lalu hingga 27 Mei depan.

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines menjadi antara syarikat penerbangan global pertama yang sedang menguji IATA Travel Pass iaitu aplikasi telefon mudah alih bagi pengesahan kesihatan secara digital.

Sebagai persediaan sebelum memperkenalkan Pas Kesihatan Perjalanan Digital di aplikasi mudah alih sendiri, Malaysia Airlines menjelaskan ujian ke atas pas perjalanan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) itu akan membabitkan penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur ke London bagi tempoh 29 April lalu hingga 27 Mei depan.

"Penumpang terpilih bagi perjalanan menerusi penerbangan MH4 (baru-baru ini) menjadi yang pertama mendapat akses kepada aplikasi baharu terbabit.

"Ia menyediakan semua maklumat yang perlu diketahui penumpang dalam satu aplikasi mudah dan senang digunakan," katanya menerusi kenyataan.

Sebagai permulaan, hanya penumpang yang menggunakan telefon bimbit dengan sistem pengoperasian iOS sahaja yang akan mempunyai akses kepada aplikasi itu.

Aplikasi berkenaan adalah langkah seterusnya bagi usaha Malaysia Airlines untuk melancarkan semula perjalanan yang selamat dan terjamin - menerusi kerjasama kerajaan, pihak berkuasa sempadan, rakan syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan lain untuk merealisasikannya.

"Ujian berkenaan juga dapat membentuk versi akhir Pas Kesihatan Perjalanan Digital syarikat penerbangan ini secara sewajarnya, dengan mengambil kira faktor teknikal dan budaya supaya ia menjadi lebih mesra pengguna dan penumpang," katanya.

Menurut Malaysia Airlines, aplikasi rintis IATA Travel Pass membolehkan syarikat penerbangan memperkemas, menambah baik dan meningkatkan usaha untuk menjadikan perjalanan lebih mudah diakses oleh penumpang, di samping mengekalkan piawaian pematuhan dan keselamatan tertinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 7:00 AM