GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines dan Saudi Airlines (SAUDIA) memeterai perjanjian perkongsian kod yang menawarkan penumpang dengan lebih banyak destinasi, pilihan perjalanan, sambungan lancar dan perkhidmatan hospitaliti terbaik melalui penerbangan kedua-dua syarikat penerbangan itu, mulai 15 Disember.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat penerbangan itu berkata tertakluk kepada kelulusan kawal selia, kod penerbangan MH Malaysia Airlines akan ditambah pada beberapa penerbangan SAUDIA, dengan pelepasan dari Kuala Lumpur ke Jeddah dan Riyadh, serta penerbangan antara bandar raya itu ke Madinah dan Kaherah.

Sementara itu, kod penerbangan SV SAUDIA akan ditambahkan pada penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke beberapa destinasi, termasuk Sydney, Melbourne, Adelaide dan Pulau Pinang.

Pengembara dari timur jauh dan Australia akan dapat menikmati akses mudah melalui SAUDIA ke destinasi-destinasi paling terkenal di Arab Saudi, seperti Madinah dan Al-Ula.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail berkata, perkongsian itu akan mengukuhkan kehadiran Malaysia Airlines di Arab Saudi dan membina hubungan utuh antara kedua-dua syarikat penerbangan itu.

"Ia juga akan melengkapkan perkhidmatan komersial dua kali sehari kami melalui Doha dengan Qatar Airways, serta penerbangan ke Jeddah dan Madinah yang dikendalikan oleh AMAL oleh Malaysia Airlines untuk perjalanan umrah dan haji," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SAUDIA Kapten Ibrahim Koshy berkata, syarikat penerbangan itu berharap dapat mempertingkatkan prospek hubungan dua hala pada masa hadapan.

"SAUDIA terbang ke lebih 100 destinasi di empat benua seluruh dunia, dan bercadang untuk meningkatkan tempat berlepasnya, disokong oleh rangkaian pesawat modennya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 1:18 PM