PENDUDUK melambai dari bumbung sebuah rumah yang tenggelam di Kalay di utara Myanmar, semalam.
PENDUDUK melambai dari bumbung sebuah rumah yang tenggelam di Kalay di utara Myanmar, semalam.
AFP

Yangon: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memberi amaran, angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh di Myanmar mungkin meningkat.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh manakala lebih 150,000 penduduk terjejas akibat banjir yang melanda sejak beberapa hari lalu.

Empat kawasan paling teruk terjejas - wilayah tengah dan barat Myanmar - sudah diisytiharkan sebagai kawasan bencana.

Kerja menyelamat mangsa turut terjejas oleh hujan yang berterusan, malah kebanyakan kawasan pedalaman tidak dapat dilalui akibat banjir teruk.

Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) memberitahu, kerajaan Myanmar memaklumkan 156,000 penduduk terjejas akibat banjir itu.

Namun, angka itu sebenarnya lebih tinggi memandangkan banyak kawasan masih belum dapat dijejaki dan dilaporkan oleh pasukan penilaian.

Sementara itu, dua lagi kawasan paling teruk terjejas di Myanmar ialah di negeri Chin dan Rakhine.

Persatuan Palang Merah Myanmar berkata, 300 rumah di Rakhine musnah dan lebih 1,500 penduduk terpaksa dipindahkan.

Rakhine menempatkan seramai 140,000 etnik Rohingya yang tinggal di kem penempatan selepas hilang tempat tinggal akibat diserang penduduk Buddha pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 10:51 AM