GASKELL yang dilaporkan hilang ketika mengembara berseorangan di Taman Negara Mulu.
GASKELL yang dilaporkan hilang ketika mengembara berseorangan di Taman Negara Mulu.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Marudi: Seorang lelaki warga Australia, Gaskell Andrew James, 25 dilaporkan hilang ketika mengembara berseorangan di Taman Negara Mulu, sejak 21 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Gabriel Risut berkata, bagaimanapun laporan polis mengenai kehilangan mangsa hanya dibuat rakannya di Balai Polis Pusat Miri, semalam.

Menurutnya, mangsa pergi ke Taman Negara Mulu pada 20 Oktober dan menghantar mesej terakhir kepada rakannya yang dia akan pulang pada keesokan harinya (Sabtu).

"Namun, sehingga hari ini (semalam) mangsa tidak pulang dan gagal dihubungi," katanya ketika dihubungi.

Katanya, warga Australia berasal dari Queensland itu pergi ke Mulu menggunakan penerbangan dari Miri pada 9 pagi, 18 Oktober lalu.

"Mangsa berambut paras bahu, berjambang dan bermisai, memakai bag sandang biru dan kasut berwarna coklat," katanya.

Katanya, setakat ini, dimaklumkan, mangsa masuk ke taman negara terbabit berseorangan tanpa pemandu arah.

ANGGOTA bomba membuat persiapan untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membuat persiapan untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat. FOTO ihsan Bomba

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi bersama polis pergi ke lokasi kejadian dengan perjalanan mengambil masa antara empat ke lima jam.

Beliau berkata, pada 2.40 petang tadi, bomba terpaksa berhenti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tutuh, menunggu bot orang awam yang lebih kecil untuk ke lokasi.

"Turut dimaklumkan, tiada talian telefon di lokasi, cuma dapat menghantar pesanan ringkas, namun bergantung kepada kawasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 5:22 PM