Matahari terbenam di Jambatan Francis Scott Key yang runtuh pada 28 Mac 2024 di Baltimore, Maryland. FOTO SCOTT OLSON / GETTY IMAGES NORTH AMERICA /Getty Images melalui AFP)
Matahari terbenam di Jambatan Francis Scott Key yang runtuh pada 28 Mac 2024 di Baltimore, Maryland. FOTO SCOTT OLSON / GETTY IMAGES NORTH AMERICA /Getty Images melalui AFP)
Reuters

Washington: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) meluluskan bantuan kecemasan persekutuan berjumlah AS$60 juta (RM283.84 juta) kepada negeri Maryland, semalam susulan insiden keruntuhan Jambatan Francis Scott Key di Baltimore, Selasa lalu.

Gabenor Maryland Wes Moore meminta AS$60 juta pada Jumaat, namun Pentadbiran Lebuhraya Persekutuan Jabatan Pengangkutan AS meluluskan tuntutan itu dalam beberapa jam.

Pembiayaan sedemikian biasanya mengambil masa beberapa hari, namun Presiden Joe Biden memberitahu wartawan, beliau mengarahkan kerajaan Persekutuan melakukan apa sahaja bagi membina semula jambatan itu dengan cepat.

Jabatan Pengangkutan berikrar untuk bertindak pantas selepas menerima permohonan pembiayaan pelepasan segera, namun ia akan memerlukan undang-undang daripada Kongres untuk membiayai pembinaan jambatan gantian.

"Dana ini berfungsi sebagai bayaran pendahuluan untuk kos permulaan dan pembiayaan program Bantuan Kecemasan tambahan akan disediakan apabila kerja diteruskan," kata Jabatan Pengangkutan dalam satu kenyataan.

Moore berkata, bantuan itu akan menyokong penggerak, operasi dan penyingkiran serpihan sekali gus membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Maryland pula berkata, pihaknya mungkin mendapatkan pembiayaan kecemasan tambahan apabila penilaian kerosakan dilakukan.

Syarikat analisis perisian ekonomi IMPLAN berkata, anggaran awal kos pembinaan semula yang mungkin akan dibayar kerajaan Persekutuan ialah AS$600 juta (RM2.8 bilion).

Namun pegawai Persekutuan memberitahu penggubal undang-undang Maryland kos boleh melonjak kepada sekurang-kurangnya AS$2 bilion (RM9.46 bilion), The Hill melaporkan, memetik sumber terdekat.

Selasa lalu, kapal kontena menggunakan bendera Singapura Dali dalam perjalanan ke Sri Lanka sebelum melaporkan kehilangan kuasa dan keupayaan untuk bergerak sebelum melanggar tiang sokongan jambatan di Pelabuhan Baltimore

Kesan itu menyebabkan kebanyakan jambatan terhempas ke dalam muara Sungai Patapsco serta-merta, menyekat lorong perkapalan dan memaksa penutupan selama-lamanya Pelabuhan Baltimore, salah satu yang paling sibuk di Laut Timur AS.

Sehingga kini, hanya empat ditemui dan dua lagi hilang dianggap mati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 10:07 AM