KEADAAN kapal itu selepas merempuh Jambatan Francis Scott Key. FOTO Reuters
KEADAAN kapal itu selepas merempuh Jambatan Francis Scott Key. FOTO Reuters
AFP

Baltimore: Mayat dua pekerja pembinaan yang terperangkap dalam pikap merah ditemukan di perairan pelabuhan Baltimore, semalam, selepas sebuah jambatan runtuh akibat dirempuh sebuah kapal kargo.

Akibat kejadian itu, enam daripada lapan pekerja pembinaan dipercayai terbunuh dengan empat mayat masih belum ditemukan.

Penguasa Polis Maryland Kolonel Roland Butler berkata, pihaknya percaya lebih banyak kenderaan terperangkap dalam runtuhan konkrit dan keluli terpintal Jambatan Francis Scott Key itu.

Sambil memberi amaran penyelam juga tidak selamat untuk cuba menembusi serpihan, polis memberitahu, pihaknya akan beralih kepada operasi mengalihkan struktur besar sebelum menghantar penyelam kembali untuk mencari mayat lain.

"Berdasarkan imbasan sonar, kami yakin kenderaan itu terperangkap dalam struktur besar dan konkrit yang runtuh.

"Kedua-dua mangsa yang ditemukan dikenal pasti sebagai Alejandro Hernandez Fuentes, 35, yang tinggal di Baltimore tetapi berasal dari Mexico dan rakan sekerjanya Dorlian Ronial Castillo Cabrera, 26, dari pinggir bandar Dundalk dan berasal dari Guatemala.

"Dua lagi (mangsa) ditarik dari air 'hidup-hidup' sejurus selepas runtuhan awal pada Selasa. Seorang tidak cedera, manakala mendapatkan rawatan di hospital," katanya pada sidang akhbar.

Naib Pengawal Pantai Peter Gautier berkata, kapal itu yang masih terperangkap dalam runtuhan disahkan dalam keadaan stabil.

"Kebanyakan anak kapal warga India masih di atas kapal dan sedang disiasat berhubung insiden itu.

"Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan juga sudah mengambil rekod kotak hitam bagi membantu penyiasat mencari punca nahas itu," katanya dalam sidang media di Rumah Putih.

Dalam kejadian 1.30 pagi Selasa lalu, kapal kontena Dali sepanjang kira-kira 300 meter dan dipenuhi kargo, meninggalkan pelabuhan sibuk itu dalam perjalanan ke Asia.

Namun, apabila bekalan elektrik terputus, kapal itu terlanggar tiang struktur jambatan menyebabkan ia runtuh.

Jambatan itu yang dilalui puluhan ribu kenderaan sehari runtuh dalam beberapa saat sekali gus menjejaskan salah satu pelabuhan perdagangan AS paling sibuk.

Kapal itu mengeluarkan panggilan kecemasan pada saat-saat akhir sebelum perlanggaran, mendorong polis bergegas untuk menghentikan lalu lintas di jambatan itu.

Namun, pihak berkuasa tidak sempat memindahkan lapan pekerja yang sibuk membaiki jalan berlubang di atas jambatan itu.

Empat lagi pekerja itu diandaikan mati.

Pegawai berkata, pekerja yang hilang itu berasal dari El Salvador, Guatemala, Honduras dan Mexico.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 10:06 AM