ROBERT Plympton (kiri) didapati bersalah membunuh Barbara Tucker. FOTO X
ROBERT Plympton (kiri) didapati bersalah membunuh Barbara Tucker. FOTO X
Agensi

Houston: Seorang lelaki di Oregon, Amerika Syarikat (AS) didapati bersalah dalam pembunuhan seorang pelajar kolej yang tidak dapat diselesaikan pada 1980.

Portal NDTV melaporkan, Robert Plympton, 60, didapati bersalah selepas asid deoksiribonukleik (DNA) ditemukan di dalam gula-gula getah yang mengaitkannya dengan kes itu.

Menurut kenyataan oleh Peguam Daerah Multnomah County, mangsa, Barbara Tucker yang berusia 19 tahun ketika kejadian 15 Januari 1980 itu, "diculik, diserang secara seksual, dan dipukul hingga mati berhampiran tempat letak kereta kampus oleh Robert Plympton."

Mangsa adalah seorang pelajar di Kolej Komuniti Mt Hood.

Sementara itu, mengenai bagaimana gula-gula getah mengaitkan Robert dengan kes itu, kenyataan pendakwa raya mendedahkan bahawa pada 2000, ada swab dilakukan pada alat kelamin semasa bedah siasat Barbara.

Ia dihantar ke Makmal Jenayah Polis Negeri Oregon (OSP) untuk dianalisis dan Makmal Jenayah OSP itu kemudian membangunkan profil DNA daripada calitan swab itu.

Kenyataan itu berkata, pada 2021, Robert dikenal pasti sebagai penyumbang berkemungkinan kepada profil DNA tidak diketahui, yang dibangunkan pada 2000.

Detektif dengan Jabatan Polis Gresham menemukan Robert tinggal di Troutdale dan mula menjalankan pengawasan.

Apabila mereka melihat Robert meludahkan sekeping gula-gula getah ke tanah, detektif mengumpul gula-gula getah itu dan menyerahkannya kepada Makmal Jenayah OSP."

Kenyataan itu seterusnya berkata: "Makmal menentukan profil DNA yang dihasilkan daripada gula-gula getah sepadan dengan profil DNA yang dibangunkan daripada sapuan swab di alat kelamin Barbara.

"Pada 8 Jun 2021, Robert ditahan dan ditempatkan di Pusat Tahanan Daerah Multnomah," katanya.

Robert kekal dalam tahanan sementara dia menunggu prosiding untuk menetapkan hukuman yang dijadualkan pada Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 2:17 PM