KASUT sniker Air Jordan 3 berwarna emas yang direka oleh pengarah filem terkenal, Spike Lee.  FOTO Sotheby’s
KASUT sniker Air Jordan 3 berwarna emas yang direka oleh pengarah filem terkenal, Spike Lee. FOTO Sotheby’s
Agensi

Washington: Kasut sniker (sneakers) Air Jordan 3 berwarna emas yang direka oleh pengarah filem terkenal, Spike Lee, dijual pada harga AS$50,800 (kira-kira RM234,518).

Ia dijual dalam satu acara lelongan yang dikendalikan oleh rumah lelongan, Sotheby's di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Sebelum ini, portal UPI melaporkan, nilai kasut itu dianggarkan lebih AS$10,000 (kira-kira lebih RM46,130).

Sotheby's berkata, kasut itu ditemukan oleh penghuni tempat perlindungan gelandangan, Burnside Shelter, yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Portland Rescue Mission, awal tahun ini.

Ketika itu, individu berkenaan melihat barangan yang didermakan orang ramai di situ, sebelum menemukan kasut sniker itu di dalam tong sampah.

Susulan itu, Tinker Hatfield iaitu pereka kasut Air Jordan 3, berkunjung ke tempat perlindungan untuk memeriksa kasut berkenaan.

Hatfield kemudian mengesahkan ia adalah sepasang Air Jordan 3 yang direka oleh Spike Lee. Pengarah itu pernah memakai kasut daripada jenis sama ketika menghadiri Anugerah Akademi pada 2019.

Bagaimanapun, kasut sniket yang ditemukan ini tidak pernah dipakai oleh Spike Lee.

Hatfield meletakkan kasut itu dalam kotak khas dan bingkai kaca bagi memaparkan bukti reka bentuk kasut berkenaan.

Kasut itu kemudian dilelong oleh Sotheby's dengan 100 peratus daripada jualan disumbangkan Portland Rescue Mission.

Sehingga kini, tidak pasti bagaimana kasut itu berada di dalam tong sampah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 12:28 PM