KEUNIKAN lebih menyerlah dengan padanan warna sesuai.
KEUNIKAN lebih menyerlah dengan padanan warna sesuai.
Nurul Husna Mahmud


Fungsi kediaman sebagai tempat perlindungan, berehat dan perhimpunan sosial mencetuskan inspirasi kepada AkzoNobel, pengeluar jenama cat terkemuka Dulux memperkenalkan merah jambu kayu atau ‘Heart Wood’ sebagai Warna Tahun 2018.

Merah jambu seperti warna kulit kayu semula jadi itu memaparkan rona mesra dan hangat bagaikan mengalu-alukan kunjungan tetamu menjadikan ia pilihan palet warna trend terkini dalam kempen ColourFutures sejak 15 tahun lalu.

Pengarah Urusan AkzoNobel Paints Asia Tenggara dan Asia Selatan Jeremy Rowe berkata, tema merah jambu kayu dicernakan menerusi kriteria atau pesona diinginkan pengguna pada kediaman impian mereka.

“Merah jambu kayu dinilai selepas mengambil kira tiga pesona berkenaan ‘mood’ kediaman diinginkan pemilik. Pertama mereka mahukan suasana kediaman mesra, kedua pula merujuk kepada atmosfera terbuka dan ketiga rona yang dapat memberi unsur ketenangan.

“Tiga elemen ini akhirnya membawa kepada pemilihan palet merah jambu lembut yang selesa dan harmoni. Ia memberi keseimbangan menerusi fleksibiliti rona warna berkenaan apabila sesuai dipadankan dengan warna lain atau pelbagai ruang.

“Malah warna itu turut menjadi pelengkap kepada pemilihan material ruang dan dekorasi untuk kediaman material kayu, urban atau ruang kerja. Malah ia turut sesuai dengan padanan warna kelabu,” katanya.

PENYESUAIAN merah jambu kayu pada ruang dapur.
PENYESUAIAN merah jambu kayu pada ruang dapur.

Sekali gus ia membangkitkan rasa harmoni dan keseimbangan sempurna di luar atau dalam kediaman. Ditambah dengan warna lembut kelabu-merah jambu yang disokong warna lebih seperti terang dakwat biru dan ungu.

Tidak dinafikan merah jambu kayu juga turut menyerlahkan aura semula jadi di dalam rumah selain memberi tenaga dan menaikkan semangat bergantung pada warna yang dipadan.

Tema mesra untuk ruang tamu

Ruang tamu adalah ruang paling penting. Jadi penggunaan merah jambu kayu boleh mengembalikan kehangatan apabila disesuaikan dengan rona tertentu selain perincian dekorasinya.

Rona ruang dapur

Tingkatkan kreativiti anda di dapur menggunakan gabungan warna yang memancarkan kehangatan dengan campuran merah jambu kayu dengan warna gelap coklat atau ‘Center Court.’

Bilik tidur

Bilik tidur antara ruang privasi untuk berehat dan penggunaan merah jambu kayu mewujudkan perasaan tenang.

Gabungan dengan kelabu, biru dan warna kopi dikatakan mampu meningkatkan suasana santai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 8:10 AM