JENNIFER Barlow.
JENNIFER Barlow.
Agensi

Washington: Wanita dari Atlanta, Amerika Syarikat (AS) ditahan lima bulan di hospital selepas dijangkiti bakteria pemakan daging yang menyebabkan kakinya dipotong.

Portal NDTV melaporkan, menurut halaman GoFundMe, Jennifer Barlow pada awalnya mengalami luka kecil pada kaki yang terdedah dengan air laut ketika di Bahamas.

"Ia sangat bengkak, saiznya tiga kali ganda daripada lutut kiri saya.

"Ia benar-benar menakutkan. Saya mengalami kesakitan yang amat sangat," kongsi veteran Tentera Amerika Syarikat (AS) dalam temu bual dengan portal Todays.

Menurut Barlow, doktor di unit kecemasan memberitahunya ia bukan perkara serius.

Barlow kemudian menggunakan tongkat dan diberi ubat untuk sakit.

Menggambarkan kesakitannya, Barlow berkata, anggota badan itu seperti kaki gergasi, sangat bengkak dan panas.

Selepas sehari, dia tiba-tiba pengsan di lantai.

Abangnya mendapati Barlow tidak sedarkan diri di rumahnya dan menghubungi paramedik untuk membawanya ke hospital.

Hasil pemeriksaan, Barlow disahkan mengalami kejutan septik dan menghabiskan dua minggu dalam keadaan koma kerana bakteria memasuki aliran darahnya.

Pemeriksaan lanjut mendapati ada tanda kegagalan buah pinggang dan hati, sementara Barlow memerlukan mesin untuk membantunya bernafas serta ubat bagi memastikan keadaannya stabil.

"Seumur hidup saya tidak pernah mendengar mengenai sepsis dan saya tidak pernah mendengar mengenai bakteria pemakan daging," kata Barlow.

Barlow dibawa ke Hospital Memorial Grady di Atlanta untuk rawatan luka pakar, namun akhirnya menjalani amputasi pada Mac, walaupun doktor berusaha sehabis baik untuk menyelamatkan kakinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 12:41 PM