SIMEON Hendrickson (kanan) dan isterinya Laurie. FOTO Agensi
SIMEON Hendrickson (kanan) dan isterinya Laurie. FOTO Agensi
Agensi

Chicago: Lelaki Amerika Syarikat (AS) secara tidak sengaja menembak mati isterinya semasa membersihkan pistol sebelum akhirnya membunuh dirinya sendiri.

Kejadian itu berlaku kira-kira 5.45 petang, 15 Julai lalu.

Polis Bolingbrook berkata, tenaga pengajar senjata api, Simeon Hendrickson, 61, dari Bolingbrook, Illinois, dilaporkan sedang membersihkan salah satu pistolnya sebelum tiba-tiba ia meletup dan tertembak isterinya, Laurie Hendrickson, 60.

Katanya, melihat orang tersayang meninggal dunia akibat kecuaiannya, dia akhirnya melepaskan tembakan terhadap dirinya dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

"Laurie dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

"Kes ini masih dalam siasatan," kata polis.

Dalam catatan Facebook, anak pasangan itu, Derek Hendrickson berkongsi kesedihannya atas kehilangan ibu bapanya.

"Mereka disayangi dan dihormati ramai orang dan ibu bapa terhebat yang diidamkan sesiapa jua," katanya.

Catatan awam di halaman Facebook, Simeon Hendrickson menunjukkan, dia mengajar menembak di sebuah kemudahan pinggir bandar di Chicago.

Rekod pada 2021 merekodkan, 549 kematian akibat senjata api yang tidak disengajakan berlaku di AS.

Berdasarkan Pusat Penyelidikan Pew, lebih ramai rakyat Amerika maut akibat kecederaan berkaitan senjata api pada tahun 2021 berbanding tahun lain.

Secara keseluruhan, 2021 menyaksikan 48,830 orang mati akibat kecederaan berkaitan senjata api di AS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 3:33 PM