Agensi

Washington: Seorang lelaki Florida yang menaiki skuter bermotor di dalam pasar raya didakwa memandu dalam keadaan mabuk.

Polis Daerah Brevard berkata, pihaknya menerima panggilan di bandar Melbourne kira-kira jam 10 pagi Ahad lalu susulan laporan seorang lelaki kelihatan mabuk, berpusing secara bahaya, merempuh rak dan hampir melanggar pelanggan, lapor Mirror UK.

Polis yang tiba di situ berkata, Aaron Gregory, berbau alkohol dan mempunyai beg galas yang terbuka di dalam bakul skuter mengandungi sebotol vodka Smirnoff, lapor WFTL.

Lelaki berusia 39 tahun itu tidak berganjak dari skuter itu ketika polis tiba.

Dia dilaporkan mabuk sehingga hampir tidak mampu berdiri sendiri dan dibawa keluar dari kedai menggunakan pengusung.

Kemudian dia dibawa ke kereta polis yang mana dia dilaporkan enggan menjalani ujian pernafasan.

Polis menahannya dan menghantarnya ke Penjara Brevard County dan gambarnya disiarkan di laman Facebook Pejabat Sheriff Brevard County.

Afidavit penahanannya menyatakan bahawa kamera keselamatan di stor merakam dia berpusing, berlari ke arah barangan dan mengangguk sambil memandu skuter bermotor.

Skuter Walmart, yang mempunyai kelajuan maksimum 16 kilometer sejam, dikelaskan sebagai kenderaan bermotor, menurut undang-undang jenayah Florida.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 6:46 AM