GAJAH bernama Happy. FOTO Reuters
GAJAH bernama Happy. FOTO Reuters
Agensi

New York: Mahkamah di New York memerintahkan supaya seekor gajah bernama Happy yang dibawa dari Thailand sejak 1977 dan juga antara 'penduduk' paling lama di Zoo Bronx, mestilah kekal di situ kerana ia bukanlah manusia yang sah tertakluk di bawah undang-undang Amerika Syarikat (AS).

BBC melaporkan mahkamah tertinggi negeri itu pada Selasa, mengundi 5-2 untuk menolak hujah kumpulan hak haiwan bahawa Happy dikurung secara haram di zoo.

Walaupun gajah 'mengagumkan', mahkamah berkata, ia tidak berhak mendapat hak kebebasan yang sama seperti manusia.

Kumpulan hak asasi haiwan berusaha untuk memindahkan Happy ke tempat perlindungan gajah.

Pertikaian mahkamah tertumpu kepada sama ada prinsip undang-undang habeas corpus yang menjaga terhadap penahanan secara haram perlu diperluaskan kepada haiwan yang kompleks dari segi emosi dan pintar.

"Walaupun tiada siapa yang mempertikaikan keupayaan gajah yang mengagumkan, kami menolak hujah pempetisyen bahawa ia berhak untuk mendapatkan remedi habeas corpus bagi pihak Happy," tulis Ketua Hakim Janet DiFiore bagi pihak majoriti.

Katanya, habeas corpus ialah platform prosedur yang bertujuan menjamin hak kebebasan manusia yang dihalang secara tidak sah, bukannya haiwan.

Keputusan itu menyusuli keputusan mahkamah rendah yang sudah berulang kali menyebelahi Zoo Bronx dalam kes dibawa oleh Projek Hak Asasi Bukan Manusia, sebuah agensi perundangan bukan bermotifkan keuntungan yang berpangkalan di New York.

Kumpulan itu mendesak untuk mengeluarkan gajah berusia 51 tahun itu dari Zoo Bronx, mengatakan ia dipenjarakan di kandangnya.

Tetapi Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar yang mengendalikan zoo, menolak penerangan itu dengan mengatakan Happy dan rakan gajahnya di zoo dijaga dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 12:03 PM