TANDAS di mana seorang wanita terjatuh dalam lubang tandas dan terpaksa diselamatkan bomba di kawasan puncak Gunung Walker. FOTO Facebook Brinnon Fire Department
TANDAS di mana seorang wanita terjatuh dalam lubang tandas dan terpaksa diselamatkan bomba di kawasan puncak Gunung Walker. FOTO Facebook Brinnon Fire Department
Agensi

Washington: Disebabkan mahu mengambil telefon bimbit, seorang wanita menanggung malu besar apabila terjatuh dalam lubang tandas dan terpaksa diselamatkan bomba.

Wanita itu yang tidak dinamakan berada di kawasan puncak Gunung Walker di Hutan Nasional Olimpik, barat laut Seattle ketika kejadian itu yang berlaku berhampiran tempat letak kereta.

Dia dikatakan sedang menggunakan telefon bimbitnya ketika alat telekomunikasi terbabit jatuh dalam lubang tandas jenis kekubah, yang takungannya dibina ke dalam tanah dan tidak mempunyai 'flush'.

Ketua Jabatan Bomba Brinnon Tim Manlu berkata, wanita itu berusia 40-an, menanggalkan tempat duduk tandas dan menggunakan anjingnya untuk mencari telefon itu.

Bagaimanapun ia tidak berjaya, yang menyebabkan dia mencari sendiri dengan mengikat badannya pada struktur tandas untuk menyeluk ke dalam lubang.

Nasibnya malang apabila dia terjatuh dengan kepala memasuki lubang terlebih dahulu.

"Wanita itu berusaha keluar selama 10 ke 15 minit tetapi tidak berjaya sebelum menghubungi 911 untuk bantuan selepas menemui telefon bimbitnya," katanya.

Menurutnya, wanita itu tidak cedera dan dibersihkan sebelum anggota menyarankan dia supaya mendapatkan pemeriksaan kesihatan kerana terdedah dengan najis manusia.

"Saya sudah berkhidmat selama 40 tahun dan ini lah kejadian pertama berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 8:00 AM