Anggota bomba berusaha mengeluarkan tangan wanita yang tersangkut dalam lubang tandas. FOTO Ihsan JBPM
Anggota bomba berusaha mengeluarkan tangan wanita yang tersangkut dalam lubang tandas. FOTO Ihsan JBPM
Iskandar Shah Mohamed


WANITA berusia 27 tahun terpaksa menahan azab lebih 45 minit apabila tangan kanannya tersepit dalam lubang tandas sebuah kilang di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang semalam.

Difahamkan, mangsa sebelum itu cuba mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh ke dalam lubang berkenaan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerusi sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan 2.44 petang.

“Pemeriksaan mendapati wanita itu terduduk dengan tangannya masih tersepit dalam lubang tandas.

“Anggota terpaksa memecahkan mangkuk tandas itu untuk mengeluarkan tangan mangsa selama 45 minit,” katanya hari ini.

Samsol Maarif berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk pemeriksaan lanjut.

“Wanita itu tidak mengalami luka dan hanya bengkak di lengan kanannya.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 12:55 PM