Vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech. - FOTO AFP
Vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech. - FOTO AFP
AFP

Washington: Syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer mengemukakan permohonan rasmi untuk kelulusan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 keluarannya terhadap kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Semakin ramai kanak-kanak dijangkiti virus itu khususnya membabitkan varian Delta, justeru vaksinasi golongan berkenaan dilihat sebagai langkah utama bagi membolehkan sekolah terus dibuka.

Akhir bulan lalu, Pfizer bersama BioNTech, iaitu syarikat bioteknologi Jerman yang bersama membangunkan vaksin itu, mula mengemukakan data kepada pengawal selia Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dalam usaha mendapatkan kelulusan berkenaan.

"Kami sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada FDA untuk kelulusan penggunaan kecemasan vaksin #Covid19 keluaran kami terhadap kanak-kanak berumur lima hingga kurang 12 tahun.

"Kami komited untuk berganding bahu dengan FDA bersama matlamat membantu melindungi kanak-kanak daripada ancaman kesihatan awam yang serius ini," kata Pfizer menerusi Twitter, semalam.

Minggu lalu, FDA dilaporkan berkata, sebuah jawatankuasa penasihat dijadualkan bermesyuarat untuk meneliti data berkenaan pada 26 Oktober depan, sebelum mengutarakan pendapat sama ada kelulusan wajar diberikan.

Sebelum ini, agensi itu memaklumkan sebaik saja permohonan rasmi dikemukakan dengan lengkap, penelitian berkemungkinan akan mengambil masa beberapa minggu dan bukan berbulan-bulan.

Kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun menerima dua dos 10 mikrogram dalam ujian percubaan, berbanding 30 mikrogram untuk dewasa.

Suntikan diberikan dalam selang masa 21 hari.

Pakar berkata, kanak-kanak perlu diberikan vaksin untuk membantu komuniti mengekang penularan virus berkenaan.

Walaupun kanak-kanak kurang berisiko berdepan kesan teruk akibat jangkitan Covid-19, namun mereka masih boleh jatuh sakit dan menyebarkan virus berkenaan ke dalam komuniti.

Hampir 5.9 juta kanak-kanak di AS dijangkiti Covid-19 setakat 30 September lalu, menurut Akademi Pediatrik Amerika.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 5:50 PM