TAHI bintang berkenaan. FOTO Agensi
TAHI bintang berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Ottawa: Seorang wanita dari British Columbia, Kanada, terselamat selepas meteor (tahi bintang) jatuh di bantal yang terletak hanya beberapa inci dari kepalanya.

Mirror UK melaporkan, insiden berlaku ketika Ruth Hamilton sedang tidur dan dia hanya tersedar selepas terdengar bunyi kuat.

Hamilton tidak tahu daripada mana datangnya bunyi itu sebelum dia melihat ada debu dan lubang di siling biliknya serta batu di bantal bersebelahan dengannya.

Dalam keadaan panik, Hamilton menghubungi polis yang kemudian mengesahkan batu itu sebenarnya adalah meteor dan ia mungkin berusia berbilion tahun.

Menurutnya, dia menghubungi pemaju projek pembinaan lebuh raya untuk mengetahui sama ada pihak berkenaan ada melakukan letupan.

Namun, pihak berkenaan menafikannya tetapi mendakwa melihat cahaya terang akibat letupan dan ia diikuti beberapa ledakan.

"Saya gementar dan takut. Saya ingatkan ada seseorang memecah masuk bilik, sama ada (lubang itu) berpunca dari pistol atau ada sesuatu yang lain.

"Rupa-rupanya ada sesuatu jatuh dari langit," katanya.

Hamilton ternyata kagum apabila mengetahui batu dari angkasa itu jatuh di bantalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 7:02 AM