Phnom Penh: Seorang suri rumah dihukum penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di sini semalam selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seorang wanita dalam satu serangan asid yang berpunca daripada perasaan cemburu.

Sroeun Nann, 40, yang bekerja di kilang pakaian ditahan Mac lalu selepas menyerang seorang pengawal keselamatan, Meas Vanny dengan asid.

Meas, 20, yang melecur teruk di muka dan badan, meninggal dunia selepas dua minggu dirawat di hospital.

Ketika dibicarakan, Sroeun Nann mengaku menyerang wanita itu kerana marah selepas mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya.

Hakim Mahkamah Phnom Penh, Nou Veasna menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Sroeun Nann kerana membunuh mangsa dengan sengaja menggunakan asid.

Serangan menggunakan asid untuk membalas dendam sering berlaku di Kemboja.

Cecair itu mudah didapati dan murah serta penyerang juga jarang dibawa ke muka pengadilan.

Pada Jun lalu, seorang wanita berusia 25 tahun ditahan kerana menyimbah asid terhadap adiknya yang berusia 17 tahun selepas mendapati mangsa dan suaminya menjalinkan hubungan sulit. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 8:11 AM