PETA perbandingan menunjukkan kawasan zon merah di Amerika Syarikat. FOTO Agensi.
PETA perbandingan menunjukkan kawasan zon merah di Amerika Syarikat. FOTO Agensi.
Agensi

Washington: Lebih 98 peratus penduduk Amerika Syarikat (AS) kini tinggal dalam kawasan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Angka itu meningkat sebanyak 19 peratus hanya dalam tempoh sebulan.

Peningkatan mendadak ini disebabkan penularan varian Delta dan kadar suntikan vaksin yang rendah di beberapa negeri.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengukur penularan menggunakan dua kaedah iaitu angka kes dalam jumlah 100,000 penduduk dan kadar positif wabak yang diukur dalam tempoh tujuh hari.

Pada Isnin, 2,361 kawasan di AS dikategorikan sebagai berisiko tinggi meningkat daripada 457 kawasan pada awal Julai lalu.

Kawasan dengan kadar penularan rendah mempunyai 10 atau lebih sedikit kes per 100,000 orang, dan kadar positif di bawah lima peratus.

Sementara kawasan dengan kadar penularan tinggi mempunyai 100 atau lebih banyak kes per 100,000 orang, manakala kadar positif adalah 10 peratus atau lebih tinggi.

Peningkatan penularan dalam tempatan menyebabkan pemakaian pelitup muka dikuatkuasakan semula dan desakan untuk program vaksinasi di seluruh negara terutama kawasan kadar vaksinasi rendah disegerakan.

Kini, CDC mencadangkan supaya orang ramai memakai pelitup muka di kawasan tertutup jika mereka berada dalam kawasan jangkitan tinggi, tanpa mengambil kira sama ada mereka sudah divaksin atau sebaliknya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 9:32 AM