OPERASI pencarian mangsa masih giat dijalankan. FOTO AFP
OPERASI pencarian mangsa masih giat dijalankan. FOTO AFP
BERNAMA

Miami: Angka korban dalam insiden bangunan kondominium runtuh di Surfside, Florida, meningkat kepada 11 orang, kata Datuk Bandar Miami-Dade, Daniella Levine Cava pada Isnin.

Cava berkata, jumlah orang yang sudah dikenal pasti seramai 136 orang dan misi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan 150 lagi yang masih hilang.

"Jumlah mangsa mungkin akan berubah. Kami masih kemas kini senarai mangsa dan menerima lebih banyak panggilan serta maklumat daripada ahli keluarga," katanya pada sidang media lapor Xinhua.

Beliau berikrar akan menyiasat dengan terperinci untuk mengenal pasti punca sebenar sebahagian bangunan kediaman Champlain Towers South itu runtuh.

"Pihak kita sudah melantik jurutera untuk mengkaji struktur bangunan itu," katanya.

Menurut satu laporan pada 2018, jurutera pernah menimbulkan kebimbangan mengenai kerosakan struktur kondominium yang dibina pada 1981 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 10:26 AM