OPERASI mencari dan menyelamat di lokasi. FOTO AFP
OPERASI mencari dan menyelamat di lokasi. FOTO AFP
AFP

Miami: Mangsa maut dalam insiden runtuhan sebahagian blok pangsapuri 12 tingkat di Florida terus meningkat kepada sembilan orang, dengan nasib 150 individu lagi masih belum lagi diketahui.

Ahli keluarga mangsa masih sabar menanti perkembangan terkini di lokasi kejadian.

Petugas operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus giat mengalihkan sisa runtuhan walaupun harapan menemui mangsa hidup semakin tipis.

Datuk Bandar Miami-Dade County, Daniella Levine Cava berkata, empat mayat ditemui penyelamat selepas menggali saluran sepanjang 38 meter (m) dengan kedalaman 12 m dan lebar enam meter di atas runtuhan.

"Kami berjaya menemui empat mayat di bawah sisa runtuhan dan saya sahkan jumlah semua yang maut kini sembilan orang.

"Ahli keluarga mangsa yang baru ditemui juga sudah dimaklumkan," katanya kepada wartawan di lokasi kejadian.

Sebahagian bangunan kondominium Champlain Towers South yang dibina pada 1981, runtuh pada 1.30 pagi waktu tempatan pada Khamis.

Bangunan itu terletak di Surfside, kira-kira 9.6 kilometer di utara Pantai Miami.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 10:15 AM