Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Organisasi Miss Universe Malaysia (MUMO) tidak akan menghantar wakil ke pertandingan ratu cantik Miss Universe 2021 selepas edisi tahun ini diumumkan berlangsung di Eilat, Israel.

Menerusi kenyataan rasminya, sehubungan itu, pertandingan Miss Universe Malaysia 2021 juga dibatalkan kali ini mengambil kira situasi Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.

"Kami ambil perhatian keputusan Organisasi Miss Universe untuk mengadakan edisi ke-70 di Eilat, Israel pada Disember depan. Oleh demikian, kami menolak jemputan untuk pertandingan tahun ini.

"Malangnya, kerana situasi Covid-19 semakin teruk, sekali gus mengehadkan perjalanan antarabangsa dan domestik, kami tidak akan anjurkan Miss Universe Malaysia 2021.

"Kami mengucapkan selamat bertanding kepada semua delegasi di pertandingan peringkat antarabangsa itu. Kami tidak sabar untuk kembali menyertainya pada masa hadapan," kata MUMO.

Pada 20 Julai lalu, pengumuman Organisasi Miss Universe mengadakan pertandingan itu di Israel mencetuskan pelbagai reaksi. Apalagi, ia diumumkan selepas isu krisis Israel dan Palestin hangat diperkatakan.

Pada Mei lalu, edisi ke-69 Miss Universe dilangsungkan di Florida, Amerika Syarikat (AS). Malaysia diwakili Francisca Luhong James ketika itu.

Peserta Mexico, Andrea Meza dinobatkan pemenang pada edisi berkenaan. Seramai 74 peserta bertanding dan penganjurannya berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 11:12 AM